Najib Razak

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan PH memohon hutang tambahan sebanyak RM15.5 bilion lagi hari ini di sebalik hutang negara sedia ada meningkat sebanyak RM87.1 bilion.

Menurut beliau, jumlah itu didapati meningkat daripada jumlah sebenar pada kadar RM686 bilion kepada RM773.1 bilion.

“Jumlah hutang kerajaan telah meningkat RM87.1 bilion kepada RM773.1 bilion pada hari ini berbanding RM686 bilion pada akhir tahun 2017.

“Itu pun masih tidak cukup. (Lim) Guan Eng (Menteri Kewangan) meminta bajet tambahan RM15.5 bilion lagi pagi ini,” tulis Najib dalam Facebook rasmi beliau hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu mengulas mengenai laporan Malaysia Gazette tentang kenyataan Guan Eng yang mengaku bahawa hutang negara telah naik dengan kadar yang jauh lebih tinggi di bawah kerajaan PH berbanding tahun-tahun sebelumnya di bawah Barisan Nasional (BN).

Menurut Najib, alasan Guan Eng hutang negara meningkat kerana mengikut bajet BN bagi tahun 2018 tidak logik sama sekali.

Ini kerana, unjuran kerajaan BN bagi tahun 2018 adalah 2.8 peratus sedangkan defisit sebenar untuk tahun 2018 di bawah PH naik kepada 3.7 peratus. -MalaysiaGazette