Eddin Syazlee Shith
Eddin Syazlee Shith

KUALA LUMPUR – Kerajaan mewujudkan sebuah Jawatankuasa Jenayah Siber PDRM-MCMC sebagai usaha memerangi jenayah siber secara lebih startegik dan tersusun.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith berkata, langkah itu termasuk bagi perkara melibatkan penghinaan terhadap institusi beraja, perkauman dan agama.

Menurutnya, penubuhan jawatankuasa berkenaan dilihat bertepatan dengan kerjasama dan kolaborasi dalam perkongsian maklumat dan kepakaran akan melancarkan gerak kerja bagi mengatasi masalah itu.

“Selain itu, kerajaan juga melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia telah menubuhkan Unit Pemantauan Isu Hina Islam bagi memantau penulisan dan provokasi yang bersifat menghina Nabi Muhamad S.A.W dan agama Islam di semua platform media termasuk laman sosial.

“Saringan awal akan dibuat oleh pihak Jakim ke atas semua aduan yang diterima oleh unit ini sebelum dipanjangkan kepada SKMM,PDRM dan jabatan agama Isalm negeri-negeri,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Sabri Azit (Pas-Jerai) berhubung tindakan tegas yang diambil terhadap pengguna media sosial yang sewenangnya menghina agama Islam, hak istimewa orang Melayu dan Raja-Raja.

Mengulas lanjut, Eddin Syazlee berkata, langkah kerja penguatkuasaan juga akan terus dipertingkat dan dipergiat bagi menangani isu melibatkan penghinaan terhadap institusi Beraja, perkauman dan agama dengan lebih berkesan. – MalaysiaGazette