Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor.

KUALA LUMPUR- Bantuan kewangan daripada kerajaan pastinya dapat membantu Felda ketika ini terutama apabila harga minyak sawit berada di paras yang sangat rendah.

Bagaimanapun, menurut Pengerusi Felda, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd. Nor semua keputusan adalah bergantung sepenuhnya kepada kerajaan.

Jelasnya, beliau mengharapkan kertas putih kelestarian Felda yang akan dibentangkan bulan depan akan memberikan halatuju yang lebih jelas kepada agensi itu untuk melaksanakan usaha yang boleh membantu memulihkan semula kewangan mereka dan membela nasib para peneroka.

“Kami telah berusaha sehabis daya untuk mengubah proses dalaman supaya lebih efisyen di samping meningkatkan urustadbir dalam kumpulan Felda bagi memastikan kami mempunyai aliran tunai yang mencukupi bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti kami termasuk membuat pembayaran kepada peneroka yang mana anda semua pun tahu yang kami mengalami masalah.

“Namun begitu kami mendapat talian hayat daripada kerajaan dengan mendapatkan pinjaman, jadi ianya sangat membantu dan kami juga berusaha mencari jalan lain untuk meningkatkan aliran tunai bagi aktiviti sehingga akhir tahun ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan memorandum bantahan pengharaman kelapa sawit bio bahan api oleh Kesatuan Eropah di sini hari ini.

Jelas Megat Zaharuddin, kejatuhan harga minyak kelapa sawit memburukkan situasi kewangan Felda yang mana salah satu cara untuk mereka mendapatkan aliran tunai adalah pembayaran semula oleh peneroka.

“Apabila harga (minyak sawit) terlalu rendah, pendapatan peneroka juga jatuh kepada kurang RM1,000 sebulan dan secara asasnya kami menasihatkan mereka untuk tidak membayar hutang (kepada Felda).

“Ini membuatkan situasi (kewangan) kami semakin ketat tetapi kami cuba mengatasi isu ini dan baguslah apabila kertas putih akan dibentangkan di Parlimen dalam tempoh dua minggu lagi supaya kami dapat melaksanakan usaha dengan lebih jelas,” katanya lagi.

Felda memerlukan aliran tunai sekurang-kurangnya RM1.5 bilion setahun bagi melaksanakan aktivitinya.

Ketika ditanya berapa lamakah masa yang perlu diambil Felda untuk pulih semula, Megat Zaharuddin berkata, semuanya bergantung kepada halatuju yang telah digariskan kerajaan di dalam kertas putih berkenaan.

Katanya, Felda telah mengemukakan cadangan-cadangan yang boleh digunakan kerajaan di dalam kertas putih berkenaan.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan kandungan sebenar cadangan berkenaan kerana tidak pasti sama ada akan diguna pakai oleh kerajaan ataupun tidak.

Dalam pada itu, Megat Zaharuddin berkata, pelan transformasi Felda yang diumumkan pada Disember lalu menunjukkan progres yang baik di mana di fasa permulaan ini, agensi tersebut memberi fokus kepada aspek operasi.

Felda telah mengenal pasti 31 inisiatif strategik melalui pelaksanaan pelan transformasinya dalam usaha untuk memulihkan semula agensi tersebut.

Dilaksanakan melalui tiga fasa dengan setiap satu mengambil masa lapan bulan Felda antara lain mahu menambah baik kualiti perkhidmatan pengurusan hutang peneroka  dengan memberi tumpuan untuk menangani pelbagai isu yang timbul.

Secara kasar, hutang peneroka kepada FELDA yang dianggar melebihi RM5 bilion telah menyebabkan kedudukan kewangan agensi itu yang sedia merosot sejak lima tahun kebelakangan ini, khususnya selepas penyenaraian FELDA Global Ventures Holdings Bhd atau kini dikenali FGV Holdings Berhad (FGV) semakin teruk. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kertas putih FELDA dibentang minggu kedua April

Mana pelan pemulihan Felda? – Mazlan

Tindakan EU sekat minyak sawit bermotifkan politik

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast