IPOH – Impian Malaysia untuk merangkul kejuaraan hoki Piala Sultan Azlan Shah buat kali pertama selepas 28 edisi berlangsung masih tidak kesampaian apabila gagal melangkah ke perlawanan akhir.

Skuad Roelant Oltmans kandas awal apabila tumpas 1-2 kepada Korea Selatan, malam tadi iaitu kekalahan kedua selepas 2-4 kepada India kelmarin.

Ini kekalahan kedua berturut-turut yang mengekalkan Malaysia di tangga ketiga biarpun masih ada satu perlawanan untuk diharungi iaitu menentang Kanada.

Enam mata yang diraih jelas tidak mampu memintas kedudukan dua pasukan teratas iaitu India dan Korea Selatan yang mengesahkan tiket final selepas mengumpul 10 mata.

Dalam perlawanan di Stadium Azlan Shah di sini semalam, pasukan negara tersentak apabila lawan lebih awal mencuri peluang dengan mendahului menerusi jaringan padang Lee Namyong pada minit ke-31.

Korea Selatan menggandakan kedudukan empat minit kemudian selepas Jang Jonghyun menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Malaysian Tigers berjaya merapatkan jurang menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Razie Abd. Rahim pada minit ke-46.

Usaha Malaysia untuk sekurang-kurangnya mencari gol penyamaan terus buntu walaupun dihadiahkan empat pukulan sudut penalti pada suku keempat.

Kegagalan terbaharu ini bermakna, kejayaan muncul naib juara pada 1985, 2007, 2009, 2013 dan 2014 kekal sebagai pencapaian terbaik pasukan negara dalam Piala Sultan Azlan Shah. –  BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast