BACHOK – Jurutera yang maut bersama empat anggota keluarganya dalam kemalangan dengan sebuah bas ekspres di Kampung Jeram Besu di sini, awal pagi semalam, baru sahaja menyambut ulang tahun perkahwinan pertama.
Lebih memilukan, Muhammad Faezuan Nor Izuddin, 27, juga baru bergelar bapa setelah dikurniakan seorang cahaya mata berusia 62 hari.
Nor Asilah Arahim, 29, berkata beliau dan suaminya baru sahaja menyambut hari ulang tahun perkahwinan pertama pada 23 Mac lepas dan mereka dikurniakan anak perempuan, Maryam Medina.
Muhammad Faezuan sepatutnya menghadiri majlis akad nikah adik perempuannya di Kampung Jelawat, Bachok, Kelantan semalam.
Bagaimanapun, hasrat itu tidak kesampaian apabila dia bersama empat anggota keluarganya maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kampung Jeram Besu di sini, awal pagi tadi.
Semalam, menurut nenek saudaranya, Nurul Aini Haron, 51, arwah juga mahu bertemu dengan anak sulungnya Mariam Medina selepas majlis itu kerana isterinya Nor Asilah Arrahim, 28, berpantang di Kok Lanas, Ketereh selepas bersalin kira-kira sebulan lebih yang lalu.
“Kami sepatutnya berkumpul di rumah keluarga arwah hari ini (semalam) kerana majlis akad nikah akan disusuli kenduri esok. Kami ingatkan mereka tidak sempat menghadiri akad nikah dan hanya tiba esok.
“Saya hanya tahu mereka sudah dalam perjalanan apabila menerima panggilan telefon daripada polis mengenai kejadian pada pukul 4.30 pagi tadi,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di perkarangan Unit Forensik Hospital Raub di sini semalam.
Dalam kejadian 3.45 pagi semalam, Muhammad Faezuan, 27, dan nenek saudaranya Sobariah Haron, 54, suaminya Mohd Sajury Abdullah, 63, dan anak pasangan itu Uwais AlQurney Abdullah, 6, serta anak saudara Sobariah, Nur Ilham Najwa Rahimi, 20, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.-BERNAMA
Kereta Proton Persona yang dipandu Mohd Sajury dipercayai terbabas sebelum bertembung dengan bas ekspres yang membawa 45 penumpang di Kilometer 325 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu di sini, yang menyebabkan kedua-dua kenderaan itu terseret ke bahu kiri jalan.
Bas yang dalam perjalanan dari Kota Bharu ke ibu negara itu kemudiannya merempuh dua lot kedai makan di tepi jalan manakala kereta dinaiki mangsa terhumban ke dalam parit. Bagaimanapun, hanya seorang penumpang bas yang cedera ringan.- BERNAMA