Lee Lam Thye
Tan Sri Lee Lam Thye.. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 04 FEBRUARI 2019

PUTRAJAYA – Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) akan melaksanakan perpustakaan mini dan tuisyen percuma kepada pelajar tingakatan tiga dan lima daripada golongan termiskin B40 di negara ini.

Projek rintis yang julung kali dirancang YSS akan melibatkan pelajar yang akan mendudui Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan calon Sijil Pelajaran Malaysia yang berasal dari keluarga termiskin B40 dari Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, sebagai permulaan ia akan dilaksanakan di PPRT terpilih di Selangor dan Lembah Klang bermula Mei ini.

“Dalam soal perpustakaan dan tuisyen percuma ini kita sedang dalam proses mendapatkan ruang bilik kosong di PPRT untuk memberikan khidmat kesukarelawanan ini untuk pelajar B40 PPRT.

“Ia boleh dianggap projek rintis YSS sejak tujuh tahun penubuhannnya dan mahu memastikan ia berjalan lancar.

“Tenaga pengajar yang akan terlibat adalah dalam kalangan sukarelawan mahasiswa dari Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia Universiti Putra Malaysia dan Universiti Perguruan Sultan Idris setiap hujung minggu untuk mengajar pelajar PT3 dan SPM dianggap projek perintis ini,” katanya dalam sidang media selepas meraikan ulang tahun penubuhan ke-7 YSS di Pantai Buatan Putrajaya di sini hari ini.

Menjawab soalan wartawan sama ada projek rintis perpustakaan mini dan tuisyen percuma diperluaskan ke seluruh negara, katanya, ia bergantung kepada kejayaan projek rintis itu di Lembah Klang Mei ini.

Menurutnya, ia selaras dengan laporan UNICEF yang menyatakan bahawa satu daripada tiga keluarga tidak mempunyai kemudahan bahan bacaan dan satu daripada lima keluarga juga tidak mampu menyediakan kemudahan alat permainan untuk kanak kanak bawah umur lima tahun.

“YSS dapat menangani isu berkenaan dengan penyediaan perpustakaan mini dan tuisyen percuma ini dan perbincangan dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang dipergiatkan dan peringkat akhir ketika ini.

“Malah subjek kemahiran menguasai Bahasa Inggeris akan diberi fokus selain subjek utama, Sains Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan ia akan dibincangkan dalam mesyuarat YSS sebelum dimuktamadkan kelak,” jelasnya.

Menurut Lam Thye lagi, ia selaras dengan memupuk budaya membaca dalam kalangan warga PPRT selain menjadi medium sosial komuniti itu apabila perpustakaan mini itu akan diuruskan sendiri oleh mereka.

Dalam pada itu, Pengurus dan Ketua Jabatan YSS, Runiy Maldud berkata, pihak sudah membincangkan perkara itu dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Bahagian Dasar Kementerian Pendidikan Malaysia untuk melaksanakan projek tersebut.

Beliau berharap perpustakaan mini dan tuisyen percuma itu akan bermula Mei ini selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri dan perbincangan tentang peralatan dan bahan bacaan untuk diisi dalam perpustakaan mini itu sedang dibincangkan.

“Jumlah kos yang terlibat dalam projek ini masih peringkat awal perpincangan dan mengenai peralatan sebahagian syarikat korporat besar sudah menyediakan peralatan buku dan sebagainya iaitu dari Percetakan Pelangi, Sasbadi dan sebagainya.

“Tempat perpustakaan dan tuisyen di PPRT akan disediakan KPKT dengan mencari lokasi sesuai dan selamat di PPRT yang mana sebagai permulaan lima PPRT di Lembah Klang akan terlibat dengan 30 pelajar untuk 30 siswa sebagai pengajar yang keseluruhanya berjumlah 150 orang bermula Mei hingga September.

“Ketika ini terdpat sejumlah 1,580 buah rumah PPRT melibatkan 5,000 orang penghuni dan Sukarelawan Siswa ini akan mengajar secara giliran daripada universiti tempatan seperti yang akan ditugaskan YSS,” ujarnya.- MalaysiaGazette