Calon Pakatan Harapan (PH), Streram Sinnasamy diiringi Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta barisan tertinggi Pakatan Harapan berarak memasuki dewan pada Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Sendayan, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 30 MAC 2019.

PRK RANTAU – Pakatan Harapan (PH) menyedari pihaknya berdepan cabaran hebat dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hassan sudah lama ‘bertapak’ di kawasan berkenaan.

“Peluang sama.Kita tahu cabaran yang hebat dari calon BN, Datuk Seri Mohamad Hassan sudah lama di sini.

“Namun begitu terpulang pada parti PH untuk bekerja bersungguh-sungguh yakinkan pada pengundi..apa yang boleh kita tawarkan kepada mereka,” katanya ketika ditemui sebelum mengiringi calon PH, Dr. S. Streram ke pusat penamaan calon PRK DUN Rantau dekat Seremban hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri memberitahu, PH kena menyakinkan pengundi kemenangan Streram akan memudahkan urusan pembangunan di negeri dan kerajaan pusat berbanding calon pembangkang.

Melalui kemenangan calon PKR itu, katanya, penduduk Rantau akan mendapat lebih nikmat.

Dalam pada itu, Muhyiddin juga mahu rakyat memberi masa kepada PH mentadbir negara kerana dalam sembilan bulan pertama sudah  ada pihak yang mengkritik kerajaan.

“Pengundi sedar PH kini sudah jadi kerajaan walaupun ada pihak tidak berpuashati selepas sembilan bulan selepas pilihan raya, itu perkara biasa.

“Kita tahu dasar apa yang diperjuangkan dalam tempoh tahun mendatang lebih banyak usaha termasuk bantuan kepada golongan B40, turunkan harga barang yang dikatakan naik dan bantuan kebajikan,” katanya lagi.

Selain itu, isu-isu besar berkaitan ekonomi, pengurusan negara dan membayar hutang bertimbun-timbun kerajaan terdahulu kini sedang diusahakan.

Menurut Muhyiddin, Perdana Menteri, Tun Mahathir (Mohamad) dan kerajaan pusat tahu yang akan dibuat dan perancangan sudah bermula.

“Dulu 60 tahun (BN) dan PH baru sembilan bulan, mana boleh banding,” kata Muhyiddin.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast