Persiapan di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Dun Rantau di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Sendayan, Negeri Sembilan. foto NOOREEZA HASHIM, 29 MAC 2019

PRK RANTAU – Seawal 6 pagi, suasana di sekitar Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Bandar Sri Sendayan mula sibuk sempena proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N27 Rantau yang bermula pukul 9 pagi ini.

Dua nama iaitu Datuk Seri Mohamad Hasan yang merupakan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan Timbalan Ketua PKR Rembau, Dr S. Streram merupakan calon popular untuk merebut kerusi tersebut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan lapan kertas penamaan calon telah dibeli sehingga semalam untuk persaingan dalam PRK yang ketujuh selepas pilihan raya umum ke-14 Mei tahun lalu.

Proses penamaan akan berlangsung selama sejam sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mohd Nizam Tajul Arus mengumumkan senarai muktamad calon yang akan bertanding.

PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 Nov lepas, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi DUN itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), terbatal dan tidak sah.

Dalam PRU14, Mohamad, calon Barisan Nasional (BN), diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi kerusi itu selepas Dr Streram, seorang pakar bius yang menjadi calon harapan Pakatan Harapan (PH), dilarang memasuki pusat penamaan calon untuk menyerahkan borang pencalonannya kerana tertinggal pas yang dikeluarkan SPR.

Kawasan DUN Rantau mempunyai 29,926 pengundi berdaftar yang dijangka membuang undi pada 13 April manakala pengundian awal pula akan diadakan pada 9 April.

Daripada sejumlah itu, 11,283 pengundi atau 55.11 peratus adalah Melayu, 3,849 atau 18.80 peratus Cina, 5,336 atau 26.06 peratus India dan empat atau 0.02 peratus lain-lain bangsa.

Pengundi yang berusia antara 40 dan 59 tahun adalah seramai 8,538 orang atau 40.37 peratus, mereka yang berusia antara 21 dan 39, seramai 7,589 atau 36.26 peratus, dan yang berusia 60 dan lebih, seramai 4,799 atau 22.94 peratus.

Rantau adalah satu daripada 36 kerusi DUN di Negeri Sembilan.

PH kini memenangi 20 daripada kerusi tersebut manakala BN, 15. PRK Rantau adalah PRK ketujuh sejak PRU14.

Sebelum ini PRK diadakan bagi kerusi negeri Sungai Kandis (4 Ogos tahun lepas); Balakong dan Seri Setia (8 Sept); Port Dickson (13 Okt); Cameron Highlands (26 Jan); dan Semenyih (2 Mac). – MalaysiaGazette