Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak memaklumkan bahawa pendapatan diperolehi dari negara luar adalah tidak dikenakan cukai seperti di bawah undang-undang percukaian.

Ia termasuk sumbangan politik termasuk daripada Kementerian Kewangan Arab Saudi.

Lagipun, katanya, beliau hanya sebagai penjaga kepada dana parti dan segala yang diuruskan adalah bagi urusan parti.

“Ini di sebalik kerajaan PH (Pakatan Harapan) sudah mendakwa saya kerana menerima RM2.6 bilion dan kemudiannya turut mendakwa saya empat kali kerana memulangkan sebahagian besar wang itu, 4 bulan kemudian,” katanya yang turut mendakwa kerajaan Pakatan Harapan telah menuduhnya menggunakan wang berkenaan untuk diberikan kepada UMNO, MCA dan parti-parti lain dan kepada pelbagai dan individu bagi tujuan kerja-kerja politik dan bukannya untuk kegunaan peribadi.

Bekas perdana menteri itu berkata demikian selepas sebuah media yang memetik sumber sebagai berkata memaklumkan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia telah menghantar surat kepada Najib untuk meminta menjelaskan cukai pendapatan sebanyak RM4 bilion yang tidak diisytiharkan antara tahun 2011 dan 2017, termasuk RM2.6 bilion yang diterima daripada Arab Saudi.

Berikutan itu, Najib bakal berdepan dengan tuntutan sebanyak RM1.5 bilion daripada LHDNM.

Dalam kenyataan melalui Facebook itu Najib berkata, kuasa kerajaan adalah sangat besar dan ada kuasa untuk mendakwa apa sahaja atau membuat pendakwaan terhadap sesiapa sahaja.

Mereka juga ada kebolehan untuk membocorkan apa sahaja – benar atau tidak – kepada media yang dikawal mereka untuk memenuhi misi propaganda.

“Contohnya, mereka membocorkan kepada media kononnya saya bersalah memberi arahan untuk mengubah laporan audit muktamad 1MDB tetapi apabila pendakwaan dibuat, saya didakwa memohon untuk mengubah DRAF laporan audit berkenaan.

“Sama juga, kerajaan boleh menuntut seberapa banyak cukai yang mereka mahu terhadap saya dan mengenakan sebanyak penalti yang berganda-ganda jika mereka mahu – biarpun dana yang dituntut itu masih lagi dalam proses mahkamah.

“Jika kerajaan PH mahu, mereka boleh menuntut cukai sebanyak RM5 bilion atau RM10 bilion dari mana-mana individu kerana ini dalam kuasa mereka,” katanya.

Namun, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, tuntutan yang dibuat terhadapnya setakat menuntut sahaja kerana pada akhirnya perlu mengikut undang-undang.

Malah, beliau turut menyindir kerajaan yang juga boleh sesuka-hati membocorkan kepada media perihal cukai mana-mana individu walaupun ianya sepatutnya adalah rahsia sebagaimana dikehendaki undang-undang jika mereka fikir ini ada manfaat untuk kepentingan politik mereka.

“Sebelum ini, kerajaan PH mendakwa saya menerima berbilion daripada sumber asing.

“Kerajaan PH boleh berbuat sesuka hati mereka tetapi saya yakin keadilan pasti muncul dan rakyat akan dapat menilai sendiri sama ada kerajaan ini berlaku adil atau telah menyalahgunakan kuasa mereka untuk kepentingan politik mereka,” ujar beliau lagi. – MalaysiaGazette