Aaron Ramsey

LONDON – Jaringan pada setiap separuh masa membolehkan Arsenal menewaskan Newcastle 2-0 bagi membolehkan pasukan itu melonjak ke tangga ke tiga Liga Perdana Inggeris dan memintas Manchester United dan Tottenham Hotspur dalam mencari slot ke Liga Juara-Juara Eropah.

Pasukan pelawat tidak pernah menewaskan Arsenal sejak November 2010 selain tidak memenangi perlawanan di tempat lawan sejak Disember lalu malah Newcastle dilihat mahukan keputusan seri ketika bertandang ke utara London.

Arsenal hampir membuka tirai jaringan selepas 12 minit permainan bermula menerusi Aaron Ramsey namun Sokratis Papastathopoulos terlebih dahulu melakukan kekasaran, lapor ESPN.

Bagaimanapun, Ramsey masih mampu mencatatkan nama sebagai penjaring gol setelah setengah jam perlawanan berlangsung dan kali ini tendangan kaki kiri pemain antarabangsa Wales itu melepas penjaga gol, Martin Dubravka dan mengenai tiang gol kiri pasukan lawan sebelum bola menerjah jaring.

Peluang jarang dicipta pada separuh masa kedua dan Ramsey minta dikeluarkan pada minit ke-67 berikutan kecederaan. Beliau digantikan Mohamed Elneny.

Ketika itu Newcastle masih lagi menjadi ancaman penjaga gol Arsenal, Bernd Leno, namun pasukan tuan rumah memadamkan harapan pasukan pelawat apabila pemain gantian, Pierre-Emerick Aubameyang melakukan hantaran kepada Alexandre Lacazette, yang melakukan volley melepasi Dubravka untuk gol kedua.

Arsenal yang ketinggalan 10 mata kepada Spurs pada awal Februari lalu kini mengumpul 63 mata dan akan berjumpa Everton pada Ahad ini, manakala United dan Spurs akan bermain pada tengah minggu ini yang mungkin menyaksikan kedua-dua pasukan boleh memintas kembali the Gunners. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast