Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menafikan dirinya pernah mengarahkan Bukit Aman menahan aktivis Pertubuhan Kebajikan Harapan Negeri Perlis, Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh yang hilang sejak tahun 2016.

Bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri itu berkata, tiada sebarang arahan dikeluarkan berhubung kehilangan kedua-dua individu berkenaan.

Perkara itu ditegaskan oleh Ahmad Zahid susulan keputusan panel inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia hari ini yang menyifatkan kehilangan dua individu itu sebagai mangsa kehilangan paksa.

“Tiada sebarang arahan diberikan oleh saya atau Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (Datuk Seri Alwi Ibrahim).

“Saya harap siasatan akan dijalankan secara profesional,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk memberitahu, KDN pada masa itu tidak terbabit dalam kehilangan mereka kerana tiada arahan sedemikian dikeluarkan pada tahun 2016 hingga tahun 2017.

“Saya belum melihat laporan Suhakam namun jika penemuan itu memperlihatkan ada penglibatan pihak ketiga maka kita harus menghormati laporan berkenaan,” ujarnya.

Amri adalah pengasas Persatuan Kebajikan Perlis Hope yang dilaporkan hilang sejak 24 November 2016.

Isterinya, Norhayati Mohd. Ariffin sebelum ini berkata, saksi ternampak lima kenderaan menghalang perjalanan kenderaan Toyota Fortuner milik Amri sebelum suami dibawa pergi dan tidak ditemui selepas itu.

Seorang pegawai Cawangan Khas dari Perlis, Sarjan Shamzaini Mohd. Daud pula mendakwa, pada malam 12 Mei 2018, Cawangan Khas di Kuala Lumpur yang melakukan penculikan berkenaan.

Manakala, Koh pula diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, kurang 100 meter dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Februari 2017 semasa beliau dalam perjalanan ke rumah rakannya.

Banyak pihak mendakwa penculikan Koh berkemungkinan ada kaitan dengan dakwaannya cuba menyebarkan agama Kristian walaupun keluarganya menolak dakwaan itu.

Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar menolak dakwaan polis terbabit dalam penculikan Koh.

Seorang lelaki berusia 31 tahun didakwa pada Januari 2018 di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan Koh. – MalaysiaGazette