Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak pelik hutang negara tidak kurang satu sen pun meskipun aset-aset milik negara telah dijual.

Sebaliknya, dakwanya, hutang negara kini meningkat pada kadar jauh lebih tinggi berbanding semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Lebih menyedihkan apabila aset-aset berkenaan tidak dijual kepada rakyat Malaysia sebaliknya entiti asing.

Ia termasuk IHH Berhad (yang memilik Hospital Pantai, Gleneagles, Universiti Perubatan Antarabangsa dan lain-lain) dijual kepada Jepun pada bulan November lalu.

Hotel Royale Chulan milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan syarikat telekomunikasi M1 yang dijual kepada Singapura.

Saham BDO Unibank Inc dijual kepada Filipina.

Malah, Malaysia Building di Hong Kong juga mahu jual kepada syarikat Hong Kong.

Najib berkata, bangunan di Hong Kong itu mahu dijual kepada syarikat tempatan untuk pembinaan semula.

Banyak lagi aset negara juga seperti DUO regency, Marina One dalam proses penjualan kepada syarikat asing, tambah bekas perdana menteri itu.

“Satu lagi persoalan ialah kerajaan mana yang telah membina, membeli dan mengumpul aset-aset negara supaya PH boleh jual secara lambak sekarang? PH tak sebut pun.

“Kerajaan PH juga berkata, kerajaan akan melaksanakan tindakan yang perlu dan dirasakan betul sama ada untuk menjual tanah atau aset berkenaan, walaupun dibantah pembangkang.

“Maksudnya, kita boleh bantah tetapi kerajaan PH akan terus jual,” ujarnya. – MalaysiaGazette