Mohamad Hasan
Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berucap pada ceramah mesra bersama calon sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Kampung Felda Sendayan, Rantau, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 03 APRIL 2019

RANTAU – Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menempelak Pakatan Harapan (PH) yang tidak senang dengan jalinan kerjasama antara Pas dan UMNO.

Menurut beliau, kerajaan sepatutnya fokus kepada agenda pembangunan negara dan tidak perlu masuk campur dengan kerjasama antara kedua-dua parti pembangkang itu.

“Saya nak cium pipi, nak berpeluk pun, itu saya punya pasallah. Kenapa kau (PH) sakit hati.

“Lepas tu khabar pulak kerjasama Pas-UMNO akan menjadikan negara ini negara Taliban.

“Sudah 62 tahun UMNO mentadbir negara. Ada seketika kita bersama dengan Pas pada tahun 1974 selepas peristiwa 1969.

“Tak pernah pula kita wujudkan negara Taliban. Bahkan negara kita antara negara yang paling berkesan sekali untuk kita melihat dan mengawal ekstremis agama,” katanya dalam ceramah kempen hari keempat bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Beliau berkata demikan di hadapan lebih 200 pengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sendayan, semalam.

Katanya, pendekatan Malaysia ketika kepimpinan BN yang anti Taliban turut mendapat pujian daripada negara maju seperti Amerika Syarikat.

Malah katanya, kepimpinan Pas di Kelantan dan Terengganu yang memasuki penggal kelima juga tidak menunjukkan sebarang aktiviti ke arah Taliban dikuatkuasakan.

“Kalau nak katakan Pas nak negara Taliban, sudah lima penggal menyurus Kelantan. Ada negara Taliban. Mereka hidup dengan baik. Pas mempunyai toleransi beragama yang yang amat tidak tinggi.

“Jadi yang dia bengkak hati tengok kerjasama kita kenapa, buatlah kerja kamu, negara tak urus. Apa hala tuju negara. Cuma tengok.

“Yang saya nampak dia nak buat kereta nasional nombor tiga, nak buat jambatan bengkok dan kereta terbang,” katanya sambil disambut ketawa dan tepukan pengundi.

Mohamad Hasan berkata demikian merujuk kepada kenyatan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming yang berkata, kerjasama UMNO dan Pas akan menjadikan negara seperti Afghanistan yang diperintah Taliban sekiranya kedua-dua parti berkenaan berjaya membentuk kerajaan sekaligus memecah belahkan rakyat. – MalaysiaGazette