Mohamad Hasan
Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berucap pada ceramah mesra bersama calon sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Kampung Felda Sendayan, Rantau, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 03 APRIL 2019

RANTAU – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kerjasama antara UMNO dan Pas akan membuahkan hasil pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) kelak.

Ujarnya, keyakinan itu dapat dilihat dengan kerjasama rapat Pas dan UMNO yang dijalinkan bersama parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang sedar tanpa penyatuan Pas-UMNO, agak mustahil untuk mereka berkuasa semula.

“Apa sebab kita kalah dan muhasabah diri tentang apa yang berlaku dan ini proses kukuhkan parti dan mengatur strategi untuk hadapi PRU15.

“BN dapat 48 peratus undi orang Melayu dan Pas mendapat 27 peratus jika dicampur 75 peratus undi orang Melayu kita akan dapat jika kita bekerjasama.

“Ini saja satu strategi kita bukan sahaja untuk menang PRU15, jika penduduk pribumi bersatu padu dan terbukti enam dekad kita mentadbir. Aman damai kerana perpaduan orang Melayu,” katanya ketika berceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sendayan.

Hadir sama Naib Presiden Pas, Idris Haron dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Zakaria Hanafi.

Mohamad Hasan adalah calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada 13 April depan.

Beliau yang kini menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO juga hairan bagaimana parti berteraskan Melayu dan Islam tidak dapat bergabung sebelum PRU14 lagi.

“Buang yang keruh dan ambil yang jernih. Saya pun tidak tahu apa sebab kita tidak pernah duduk semeja.

“Saya lahir songkok putih dan songkok hitam berbeza-beza.

“Saya pun tidak tahu apa pasal kita tidak boleh bersama-sama,” katanya disambut ketawa lebih 200 pengundi Sendayan.

Pas dan UMNO kini menjalinkan kerjasama selepas PRU14 yang dimulakan di PRK Cameron Highlands dan PRK Semenyih.

Atas penyatuan kedua-dua parti, mereka berjaya mempertahankan Cameron Highlands dan merampas kembali kerusi DUN Semenyih pada awal Mac lalu. – MalaysiaGazette