Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan mengatakan sesuatu kepada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (kanan) pada sidang media sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Bilik Gerakan Utama Barisan Nasional, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 05 APRIL 2019.

PRK RANTAU – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menasihatkan Pemuda Barisan Nasional (BN) agar tidak alpa dengan laungan kemenangan bergaya Datuk Seri Mohamad Hasan.

Katanya, biar pun parti itu tidak menghadapi kesukaran untuk turun berkempen namun jentera parti itu tidak boleh menganggap bahawa PRK DUN Rantau kali ini lebih mudah daripada pilihan raya sebelumnya.

“Yang kita risau sedikit sebanyak ada nilai keselesaan sebab orang tidak mengundi dan perspektif Tok Mad akan menang.

“Sebab itu kita nak pastikan BN tidak berada dalam zon selesa dan pastikan setiap pengundi turun mengundi.

“Ini penting kerana rakyat mahu Tok Mad tapi kalau tidak turun mengundi kesan yang buruk mereka akan terima,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Bilik Gerakan Utama BN hari ini.

Justeru itu katanya, BN perlu fokus kepada undi bukan Melayu yang boleh menjadi faktor kepada penurunan undi Mohamad Hasan.

“Kita buat kempen berjumpa pengundi selain fokus kepada pengundi bukan Melayu. Malah kita juga bekerjasama dengan Makkal Sakti, IPF, KIMMA dan mereka lebih selesa menggunakan terma TeamTokMat,” katanya lagi.

Pada minggu lalu, Mohamad meminta pengundi DUN Rantau jangan mudah terpesona dengan cakap-cakap orang mengatakan dia akan menang mudah pada pilihan raya kecil 13 April depan.

Beliau berkata persepsi itu sengaja disebarkan pihak tertentu supaya pengundi, khususnya yang bekerja di luar Rantau, tidak pulang melaksanakan hak mereka, dan seterusnya mengurangkan jumlah undi.

“Itu sebabnya orang cakap ‘Tok Mat boleh menang’. Itu tak betul,” katanya sehari sebelum proses penamaan calon mengambil tempat di Dewan Serbaguna, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan. -MalaysiaGazette