Dr Kamarul Zaman Yusoff
Dr. Kamarul Zaman Yusof

KUALA LUMPUR – Tindakan membocorkan butiran perbincangan yang berlaku dalam mesyuarat Kabinet oleh mana-mana menteri merupakan perkara yang bercanggah dengan etika kerahsiaan dan kebertanggungjawaban.

Malah, perkara itu dianggap lebih teruk lagi apabila tidak mendedahkan identiti mereka yang terlibat dalam perbincangan tersebut, kata Penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusof.

Kamarul mengulas mengenai laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam apabila menyiarkan artikel berhubung kerajaan dipaksa untuk menarik balik perjanjian mengenai Statut Rom.

Laporan itu, katanya memetik sumber yang tidak mahu dikenali yang menceritakan bahawa perbincangan Jemaah Menteri mengenai isu Statut Rom berlangsung dalam suasana panas dan memakan masa berjam-jam sebelum keputusan menarik diri dibuat.

Kata sumber itu, 90 peratus daripada Jemaah Menteri bersetuju untuk mengekalkan Statut Rom kerana ia dikatakan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan tetapi terdapat beberapa orang yang merasakan perlu menarik diri untuk kekal berkuasa.

Seorang lagi sumber yang tidak mahu dikenali menceritakan bahawa Ahli Jemaah Menteri yang tidak bersetuju kerajaan meratifikasi Statut Rom takut ia akan menjejaskan Raja-Raja Melayu dan bimbang rakyat tidak percaya kepada kerajaan akibat meratifikasikan perjanjian tersebut.

Kamarul mempersoalkan tujuan membocorkan perkara itu kerana ia menimbulkan pelbagai spekulasi yang tidak sihat.

Ia umpamanya menunjukkan perdana menteri adalah seorang yang lemah atau yang kuat bergantung, kepada persepsi masing-masing.

“Dapat dilihat daripada nada kedua-dua sumber yang bercakap ini, boleh difahami bahawa mereka merasa kecewa dengan keputusan penarikan diri dari Statut Rom dan kebetulannya mereka yang paling meluahkan rasa kecewa ialah pemimpin DAP,” katanya menerusi kenyataan.

Dengan memberikan contoh,  Kamarul berkata, Lim Kit Siang  menyebut secara terang-terangan bahawa beliau sangat kecewa dengan penarikan itu.

Bahkan, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menambah, keputusan tersebut bukan kemahuan Kabinet, sebaliknya dipaksa oleh keadaan.

Ahli Parlimen DAP dari Klang, Charles Santiago, pula menerusi laporan sebuah laman portal pula menyalahkan Tun Dr Mahathir Mohamad kerana membuatkan Kabinet kelihatan lemah.

Beliau turut mempersoalkan mengapa Dr Mahathir yang sebelum ini berani menghapuskan imuniti raja-raja, kini berubah.

Tambah Kamarul, kekecewaan pemimpin DAP itu sebenarnya tidak sukar untuk difahami kerana hansard Parlimen dan rekod DAP menunjukkan merekalah, termasuk Naib Pengerusi DAP, M Kulasegaran pada awalnya, yang paling lantang dan konsisten memperjuangkannya.

“Walaupun rasa kecewa, sangatlah tidak patut untuk pemimpin DAP, tambahan pula yang bertaraf Ahli Parlimen, mengkritik keputusan tersebut, apa lagi mengeluarkan istilah-istilah “Bodoh”, “Bangang” dan “Selfish” kepada BN dan Pas.

“Dan, jika diamat-amati maka akan didapati bahawa UMNO dan Pas tidaklah terlalu ke hadapan dalam menentang ratifikasi Statut Rom ini, di mana UMNO baru berkira-kira mahu menghadap Sultan Selangor manakala Pas pun belum menghadap Raja Melayu lagi,” ujarnya.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk menggugurkan ratifikasi Statut Rom.

Dr Mahathir berkata, keputusan itu dicapai menerusi mesyuarat Kabinet apabila melihat banyak pihak yang keliru mengenainya  sehingga memaksa kerajaan membuat keputusan itu. – MalaysiaGazette