Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR – Susulan keputusan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menarik balik perjanjian Statut Rom Jumaat lalu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini berkenan merakamkan penghargaan terhadap tindakan itu.

Baginda juga mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menghormati dan menerima pandangan Majlis Raja-Raja terhadap kesan ratifikasi perjanjian itu.

“Beta ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia kerana mendengar suara rakyat untuk membatalkan perjanjian Statut Rom yang telah ditandatangani pada Mac yang lalu.

“Beta juga mengucapkan terima kasih kerana menghormati dan menerima pandangan Majlis Raja-Raja,” titah Sultan Ibrahim yang dimuat naik di laman Facebook milik baginda, hari ini.

Jumaat lalu, Dr Mahathir menarik balik tindakan Kerajaan PH yang menandatangani perjanjian Statut Rom bagi menganggotai Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

ICC adalah mahkamah jenayah antarabangsa pertama berasaskan perjanjian, bertujuan menamatkan kekebalan terhadap pelaku jenayah paling serius yang membimbangkan masyarakat antarabangsa melibatkan pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang serta jenayah kemanusiaan dan pencerobohan.

Malaysia boleh menarik balik Surat Cara Penerimaan Statut Rom ICC pada Jun ini selepas ia ditandatangani pada 4 Mac lalu dan diserahkan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada hari sama.

Sultan Ibrahim juga menitahkan agar Kerajaan PH sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan politik.

“Beta akan memastikan kedaulatan negara dan keharmonian hidup rakyat akan sentiasa dipelihara.

“Raja dan Rakyat berpisah tiada,” titah baginda lagi. – MalaysiaGazette