Zukri Samat

KUALA LUMPUR – Tiada pengeluaran luar biasa berlaku di cawangan-cawangan Lembaga Tabung Haji (TH) dan semua urusan pada hari ini adalah seperti biasa.

Sebaliknya, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat berkata, cawangan-cawangan TH masih menerima deposit baharu.

Beliau menyifatkan khabar yang tular di media sosial mendakwa berlaku masalah tunai di cawangan TH adalah tidak berasas dan tidak benar sama sekali.

“Saya ingin menegaskan bahawa khabar angin yang tular di media sosial adalah sama sekali tidak benar dan tidak berasas.

“Ini adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab,” kata Zukri dalam satu kenyataan di sini.

Khabar angin itu tular selepas TH mengumumkan kadar hibah 1.25 peratus bagi tahun kewangan 2018, paras terendah dalam sejarah TH.

Beliau memberi amaran bahawa TH akan membuat laporan polis jika terdapat sebarang khabar-khabar angin oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, bertujuan untuk menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pendeposit.

Dalam kenyataan itu, Zukri juga memberi jaminan kepada para pendeposit bahawa bukan sahaja wang mereka selamat.

Malah, katanya, TH komited menjana pendapatan yang mampan untuk mengoptimumkan pulangan mereka sambil menumpukan kepada mandat untuk membantu umat Islam menyimpan dan mempersiapkan diri untuk urusan haji. – MalaysiaGazette

 

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/07/tabung-haji-nafi-cawangan-bachok-kehabisan-wang/