Calon bebas, Tan Sri Isa Samad bercakap kepada media selepas melawat penduduk Kampung Jimah Lama sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Port Dickson, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 30 SEPTEMBER 2018
Tan Sri Isa Samad

KUALA LUMPUR – Kajian audit forensik yang dijalankan oleh pengurusan baharu Felda mendapati pembelian hartanah Felda dan sayap pelaburannya, Felda Investment Corporation (FIC) adalah menggunakan nama Tan Sri Isa Abdul Samad dan Zaid Abdul Jalil.

Isa ketika itu adalah Pengerusi Felda manakala Zaid merupakan Ketua Pegawai Eksekutif FIC.

Malah, pembelian tersebut dilakukan tanpa melalui proses due diligence dan kelulusan Lembaga Pengarah Felda.

“Wujud kecurangan dalam proses perolehan dan pelaburan menerusi minit mesyuarat lembaga pengarah Felda dan FIC serta dokumen berkenaan,” dedah Laporan Kertas Putih Ke Arah Kelestarian Felda yang dibentangkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali di Parlimen hari ini.

Menurut laporan tersebut, amalan tadbir urus korporat yang lemah, tiada akauntabiliti dan integriti menyebabkan Felda kehilangan model perniagaan yang mapan.

Isa selaku Pengerusi Felda ketika itu turut memegang kuasa sebagai pengerusi lembaga pengarah syarikat-syarikat bersekutu seperti FIC, FIC Properties Sdn. Bhd. dan FGV Holdings Bhd.

Beliau turut menyandang jawatan lembaga pengarah kepada kira-kira 20 anak syarikat dan syarikat kepentingan Felda.

“Situasi ini akan menimbulkan konflik kepentingan dan salah laku tadbir urus yang mendorong kepada amalan dan etika kerja yang tidak berintegriti,” kata laporan tersebut.

Tambahnya, kegagalan lembaga pengarah dan pihak pengurusan menyediakan pasukan profesional untuk membuat pelaburan besar telah mendedahkan Felda kepada pelbagai risiko termasuk kerugian pelaburan.

Laporan kajian audit forensik disediakan oleh Ernst & Young. – MalaysiaGazette