Rafizi Ramli
Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli meminta calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil Rantau, Datuk Seri Mohamad Hassan memberi penjelasan mengapa beliau tidak menggunakan saluran yang betul ketika memindahkan wang berjumlah RM10 juta bagi membeli kediaman di London pada 2007.

Menurut Rafizi, pemindahan wang menerusi pengurup wang adalah melanggar peraturan lesen operasi pengurup wang kerana tugas mereka hanyalah untuk menukar matawang asing kepada ringgit atau sebaliknya dan bukannya memindahkan wang keluar negara.

“Pemindahan wang keluar negara melibatkan pelbagai peraturan yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia.

“Bila Tok Mat cuba menyembunyikan pemindahan wang itu dengan menggunakan saluran tidak betul, ia bukan lagi soal Tok Mat kaya atau tidak.

“Soalnya, kenapa perlu disembunyikan? Apa yang Tok Mat cuba sembunyikan, sehingga sanggup berdepan kemungkinan melanggar undang-undang bersabit pemindahan wang di bawah Bank Negara Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Dalam hantaran tersebut, Rafizi turut menyatakan bersama pemindahan wang keluar negara seperti yang terkandung dalam Laporan Tahunan 2007 Bank Negara Malaysia yang menyebut rakyat Malaysia yang tidak mempunyai hutang dalam negara tidak dihalang untuk memindahkan wang bagi membeli apa-apa harta di luar negara, tanpa had.

Bagaimanapun, rakyat Malaysia yang mempunyai hutang dalam negara dan menukar wang ringgit ke matawang asing untuk membeli harta di luar negara, had pemindahan dan pembelian adalah sebanyak RM1 juta sahaja setiap tahun.

“Sebab itu isu utama dalam soal wang RM10 juta ini bukanlah Tok Mat kaya atau tidak.

“Isunya ialah kenapa Tok Mat ambil risiko melanggar undang-undang untuk menyembunyikan pemindahan wang itu, sedangkan semua orang tahu beliau kaya?” katanya.

Tambah Rafizi, Mohamad yang didakwanya bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri itu sepatutnya berterus-terang dari sekarang berhubung isu berkenaan. – MalaysiaGazette