Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim

PORT DICKSON – Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Presiden Pemantau Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam supaya mencari modal lain selain isu liwat untuk menyerang beliau.

Teguran Anwar menyusul selepas Lokman mendakwa dalam laman Facebooknya bahawa Anwar sedang disiasat polis Singapura kerana terlibat dalam kes liwat di negara republik itu.

Menurut Anwar, 72, beliau tidak mahu memedulikan atau mengambil serius tuduhan ahli Majlis Tertinggi UMNO itu, sebaliknya mahu memberi fokus meneruskan kerja dan kempen beliau mendekati rakyat untuk mendapatkaan mandat mereka.

“Sudah 20 tahun lalu saya hadapi situasi fitnah ini.. sudah sudahlah Lokman. saya bagi nasihat sudahlah tu. cari modal lain,” kata dalam sidang media di Pusat Bilik Gerakan Pakatan Harapan PRK di Waterfront di sini.

Tambah bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, beliau mengambil pendirian tetap untuk tidak melayan fitnah dari individu seperti Lokman selepas ini.

“Saya sebenarnya malas nak fikirkan isu sebegini. Sumber (mediaCorp Singapura) itu sudah nafi (insiden liwat).

“Kalau orang itu ada adab dan akhlak, kalau sudah sudah nafi, dia (Lokman) perlu minta maaf.

“Sudah berapa kali dia sudah minta maaf dah macam P.Ramlee, Maafkan kami, berapa kali dah., Maaf dia buat lagi..maaf dia buat lagi juga,” katanya sambil tersenyum.

Rentetan insiden itu, Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmy Mohamed Fadzil telah membuat laporan polis ke atas kenyataan Lokman yang mengaitkan kes liwat di Singapura dengan pemimpin PH itu.

“Saya membuat laporan polis kerana mahu pihak berkuasa termasuk PDRM dan SKMM bertindak segera terhadap Lokman kerana kenyataannya palsu, berniat jahat yang boleh menggugat persepsi umum terhadap Anwar,” katanya.- MalaysiaGazette