Acap berbaju hijau.

KUALA LUMPUR – Cerita kononnya Acap yang hilang sejak 23 Mac lalu kini sudah ditemui tidak benar.

Begitu juga dengan cerita peserta Gopeng Ultra Trail 2019 berusia 29 tahun itu disorok penduduk kampung.

Malah polis menerima empat laporan palsu yang tular dalam media sosial mengenai Acap atau nama sebenarnya Mohammad Ashraf Hassan.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Hasron Nazri Hashim berkata, ada empat laporan diterima daripada empat individu berbeza sejak 4 April hingga semalam.

Katanya, antara laporan polis yang dibuat ialah mengenai berita palsu kononnya Mohamad Ashraf sudah ditemui.

“Polis turut menerima laporan kononnya lelaki yang hilang itu sudah ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) namun dia dikatakan tidak mahu pulang kerana telah berkahwin dengan jin.

“Selain itu, satu laporan lagi ialah mengenai rakaman suara yang dimuat naik di akaun Facebook kononnya mangsa disorok penduduk kampung.

“Laporan juga diterima berkaitan satu status yang dimuat naik melalui akaun Facebook yang menyatakan pihak penganjur Gopeng Ultra Trail lepas tangan mencari mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru itu, beliau akan merujuk tiga laporan awal kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk siasatan lanjut.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak menularkan maklumat atau berita melalui media sosial berdasarkan persepsi sendiri sebaliknya menyerahkan siasatan kepada pihak berkuasa,” katanya.- MalaysiaGazette