Rafizi Ramli

SEREMBAN – Walaupun Timbalan Menteri Kewangan memberitahu di Dewan Rakyat bahawa tiada pembelian berlian merah jam oleh seorang isteri VVIP, namun Rafizi Ramli terus mempertahankan dakwaan yang dibuat sebelum ini.

Rafizi berkata, biarpun pembelian berlian itu tidak didaftarkan di atas nama isteri bekas perdana menteri, namun ia tidak menidakkan wujud belian 22 karat yang disiasat mengunakan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Naib Presiden PKR itu, perkara yang menjadi persoalan dalam isu itu ialah siapa yang membayar dan wang siapa yang digunakan untuk membuat pembelian tersebut.

“Sekarang, soalan yang saya faham dari Parliamen ialah, samada belian itu di bawa masuk, dibeli ataupun didaftarkan kepada Datin Seri Rosmah dan jawapan daripada kerajaan ialah tidak.

“Maksudnya Rosmah tidak beli, tidak bayar atas nama dia..sama juga semua harta yang lain .

“Hanya kerana pembayaran tidak didaftarkan, ia tidak menidakkan kes bahawa ada belian 22 karat harga seratus juta lebih yang disiasat mengunakan wang 1MDB sebab yang jadi isu ialah siapa yang bayar dan pakai duit siapa.

“Kalau ikut fakta dari Amerika Syarikat mengatakan belian dibayar menggunakan wang 1MDB,” katanya kepada media selepas ceramah umum Pakatan Harapan menjelang Pilihan Raya Kecil DN Rantau pada 13 April ini.

Terdahulu, Rosmah mahu pihak yang memfitnahnya berhubung isu pembelian berlian merah jambu memohon maaf kepada rakyat.

Ia susulan kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Amiruddin Hamzah yang memberitahu Dewan Rakyat bahawa ejen jualan yang membawa masuk berlian merah jambu untuk “isteri seorang VVIP” membuat perisytiharan kepada kastam dan tindakan sama turut dilakukan ketika beliau membawa batu permata itu keluar dari Malaysia.

Bagaimanapun Rafizi berkata, rakyat perlu membaca cerita berkenaan secara berpanjangan dengan fakta yang dikumpulkan dengan lengkap.

Dari segi rantaian fakta, katanya, pada tahun 2017, ada satu tindakan mahkhamah diambil oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat yang mengatakan bahawa wang 1MDB dipercayai digunakan untuk membeli berlian 22 karat untuk dihadiahkan kepada isteri perdana menteri pada masa itu.

Menurutnya, ia adalah fakta dan ia difailkan di Amerika Syarikat dan kes itu masih berjalan.

“Kemudian Najib Razak sendiri dalam satu temuramah Al-Jazeera semasa ditanya mengenai berlian itu mengakui dia ada mendengar mengenai berlian tersebut sambil mengakui berlian merah jambu itu wujud dan Putera Mahkota Dubai yang hendak beli sebagai hadiah kepada Rosmah.

“Tapi dia tak pernah tengok berlian itu dan tak tahu siapa dapat berlian itu yang kini menjadi tuntutan dalam kes undang-undang di Amerika Syarikat.

“Yang bezanya ialah dia (Najib) kata bukan dibayar 1MDB tetapi oleh Putera Mahkota Dubai,” katanya lagi.

Rafizi menambah, setakat ini tiada orang mempersoalkan kewujudan berlian untuk diberikan hadiah kepada Rosmah.

Secara fakta, Rosmah tidak dapat berlian itu tetapi ia tidak menidakkan fakta bahawa belian itu dibeli mengunakan wang yang mengikut siasatan adalah wang 1MDB.

Rafizi juga menyamakan isu itu dengan kapal mewah Equanimity.

“Itu memang beli atas nama orang lain, syarikat yang mendaftarkan Equanimity, sekarang kita tak tahu siapa miliknya.

“Hanya siasatan yang akhirnya berjaya membuktikan milik syarikat pesisiran itu ada kaitan dengan Jho Low.

“Jika dalam senario ini jika ditanya dalam Parlimen adakah Jho Low memiliki Equanimity, jawapan daripada menteri sudah tentu “ia dimiliki oleh syarikat sekian-sekian” bukan nama Jho,” ujarnya. – MalaysiaGazette