Mohamad Ariff Md Yusof

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat akan meneliti cadangan agar sidang prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dijalankan secara siaran langsung pada masa akan datang.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof berpendapat, cadangan itu merupakan satu perubahan yang akan membawa dewan untuk bergerak ke hadapan.

Namun jelas beliau terdapat kekangan ketika ini apabila peraturan mesyuarat tidak membenarkan prosiding PAC dibuat secara terbuka.

“Kita perlu bergerak ke depan selangkah demi selangkah. Namun peraturan mesyuarat tidak membenarkan prosiding terbuka.

“Sama ada dianggap premis terbuka sehingga ia ditutup. Kite mesti memilih apa yang sesuai untuk kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan ucaptama sempena pelancaran Konvensyen Terralex Global 2019 di Hotel Shangri La di sini hari ini.

Mohamad Ariff diminta mengulas cadangan bekas Pengerusi PAC, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee semalam yang meminta beliau mempertimbangkan cadangan supaya membolehkan sidang prosiding PAC dijalankan secara siaran langsung.

Ronald berkata, cadangan itu diutarakannya bagi membolehkan pengamal media membuat liputan secara langsung mengenai prosiding yang dijalankan pihak PAC.

Katanya, pihak PAC juga telah menghantar surat rasmi kepada Mohamad Ariff berhubung perkara berkenaan. – MalaysiaGazette