BUTEMBO –  Walaupun angka kematian ekoran wabak Ebola di sini meningkat kepada lebih 700 selepas 100 kes terbaharu dilaporkan bagi tempoh tiga minggu lalu namun Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) tidak menganggapnya sudah sampai peringkat darurat.

Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, Jawatankuasa Kecemasan menyimpulkan wabak tersebut tidak dianggap sebagai darurat kesihatan awam untuk kebimbangan antarabangsa ketika ini.

“Bagaimanapun keputusan ini tidak membawa sebarang perbezaan kepada komitmen kita memerangi wabak ini habis-habisan pada masa kini.

Ebola2

Minggu lalu, kira-kira 95,000 penduduk menerima suntikan vaksin Rvsv-Zebov buat pertama kali bagi mengelakkan jangkitan menjadi lebih buruk.

Dalam pada itu, kata Tedros lagi, pihaknya memohon simpati bagi mendapatkan bantuan kewangan antarabangsa untuk menamatkan wabak itu.

Kata beliau, setakat Julai, jumlah dana untuk memerangi wabak ebola itu mencecah sehingga AS$104 juta (RM428 juta).

Congo mengisytiharkan wabak ebola ke-10 dalam tempoh 40 tahun Ogos lepas berlaku di utara Kivu sebelum merebak ke daerah berjiran, Ituri.

Pusat wabak tertumpu di Mangina namun kemudian berubah ke bandar Beni, yang mana jumlah kematian lebih tinggi.

Sejak wabak tercetus, jumlah kes yang disahkan adalah 1,186 dengan 751 kematian, menurut data WHO pada 9 April.

Perang melawan wabak diburukkan dengan ketegangan pihak bersenjata di negara itu.

Tambahan pula, wujud penentangan oleh sebilangan masyarakat untuk memerangi wabak itu. –MalaysiaGazette