Dr. S. Streram meninggalkan Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan selepas mengetahui keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Bandar Ekar, Rantau, Negeri Sembilan. foto NOOREEZA HASHIM, 13 APRIL 2019.

RANTAU – “Saya memang tak menjangkakan keputusan ini, kami sebenarnya mengharapkan keputusan lebih baik”.

Itu reaksi Calon Pakatan Harapan, Dr. S.Streram selepas tewas kepada calon Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Rantau hari ini.

Pakar bius itu tewas kepada Datuk Seri Mohamad Hasan yang memperoleh majoriti selesa 4,510 undi.

Bagaimanapun, menurut Streram, beliau menerima kekalahan itu dengan hati terbuka.

“Bagaimanapun saya terima keputusan sepertimana dikehendaki rakyat di sini,” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan Utama Bandar Ekar di sini malam tadi.

Ditanya perancangan beliau selepas ini, katanya, beliau akan mengambil rehat secukupnya dan akan meneruskan perkhidmatannya untuk penduduk Rantau seperti yang dilakukan sejak tiga setengah tahun lalu.

Menurutnya, walaupun tewas tidak bermakna beliau akan melupakan penduduk Rantau berbilang kaum yang amat dekat dengan hatinya.

Beliau juga menjelaskan tidak tahu punca kepada perubahan yang sebegitu.

“Saya lihat peratusan keluar mengundi masyarakat Cina dan India sangat rendah kali ini,” katanya. – MalaysiaGazette