Harnarain Singh Gill
Harnarain Singh Gill

KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan Minoriti (MBC) menyambut baik keputusan kerajaan untuk meneruskan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan perjanjian tambahan antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Naib Presidennya, Harnarain Singh Gill berkata, pihaknya senang hati kerana projek itu akan diteruskan dengan pengurangan kos yang tentunya memberi manfaat kepada rakyat, sekali gus mengurangkan beban hutang negara.

“MBC mengucapkan tahniah kepada kerajaan Malaysia, MRL dan CCCC kerana telah memeterai perjanjian tambahan untuk meneruskan projek ECRL serta mengenal pasti kaedah pengurangan kos pembinaan.

“Kami berharap perjanjian tambahan ini yang merangkumi aspek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan ECRL memberikan peluang sama rata kepada kontraktor dan pembekal terutama syarikat tempatan dari komuniti minoriti,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Jumaat lalu, Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan media menyatakan, projek ERCL yang mencetuskan perbalahan mengenai kos pembinaannya oleh kerajaan terdahulu akan diteruskan dengan kos pembinaan sebanyak RM44 bilion.

Menurut kenyataan itu, kos pembinaan fasa 1 dan 2 ECRL itu berjaya dikurangkan sebanyak RM21.5 bilion berbanding kos asalnya pada RM65.5 bilion.

Pengurangan kos itu dicapai selepas MRL memeterai Perjanjian Tambahan (SA) dengan CCCC.

SA itu merangkumi perjanjian bagi aspek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan ECRL.

Menurut Harnarain Singh, projek ECRL itu harus memberikan faedah kepada rakyat dengan menyumbangkan peluang pekerjaan dan rantaian bekalan tempatan yang akan mendorong peningkatan ekonomi tempatan dan nasional.

Kata beliau, rakyat dan syarikat tempatan semuanya harus diberi peluang untuk meningkatkan kemahiran dan pengalaman melalui projek skala besar seperti itu.

“Kami berharap kroni kerajaan sebelum ini dengan rekod palsu tidak akan dipertimbangkan untuk projek ini, sebaliknya memberi peluang kepada ribuan kontraktor serta pembekal sebenar di pasaran.

“Kita bersedia membantu kerajaan dalam sesi perbincangan dan proses pemilihan kontraktor dan pembekal bagi memastikan rakyat tempatan di seluruh negara dapat faedah sepenuhnya secara langsung atau tidak langsung dari projek ini,” katanya.

Beliau berkata, MBC boleh mengemukakan senarai kontraktor dan pembekal yang berkelayakan kepada kerajaan supaya mereka diberikan peluang untuk terlibat dalam projek berkenaan. – MalaysiaGazette