Tan Sri Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin.

KUALA LUMPUR – Pentadbiran kerajaan negeri Johor akan berjalan lancar berikutan pelantikan Menteri Besar (MB) yang baharu dengan tumpuan sepenuhnya dapat diberikan kepada usaha memajukan negeri itu demi kepentingan rakyatnya.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, muafakat pimpinan Pakatan Harapan (PH) pada peringkat negeri Johor dan pusat telah membolehkan peralihan kepimpinan kerajaan negeri berjalan dengan lancar dan sempurna.

“Saya menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar kerana telah memperkenankan pelantikan YAB Dr Shahruddin Jamal, ADUN Bukit Kepong, sebagai Menteri Besar Johor yang baharu sepertimana yang dicadangkan oleh pucuk pimpinan Pakatan Harapan.

“Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada YAB Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri dan Pengerusi Pakatan Harapan, yang telah memberikan panduan, sokongan dan kepercayaan penuh kepada Pakatan Harapan Negeri Johor untuk mencari muafakat dalam menjayakan peralihan kepimpinan kerajaan negeri,” katanya yang juga Menteri Dalam Negeri dalam kenyataan hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepung , Dr Sahruddin Jamal mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-17 di hadapan Sultan Ibrahim, pagi ini.

Sahruddin menerima surat tauliah pelantikan dan melafaz sumpah menyandang jawatan dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor, pada majlis yang berlangsung di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, jam 9.30 pagi tadi.

Muhyiddin yang mengucapkan tahniah kepada Shahruddin turut berharap Menteri Besar baharu itu dapat menjalankan tugas dengan penuh beramanah dan berintegriti. – MalaysiaGazette