pemilu
Pilihanraya umum (Pemilu) dan Pemilihan Presiden (Pilpres) Indonesia 2019 akan diadakan pada 17 April ini.

JAKARTA – Agensi Penyeliaan Pilihanraya Indonesia memberi jaminan proses mengundi awal untuk pengundi di Malaysia tetap akan dijalankan pada hari Ahad seperti yang telah dijadualkan meskipun siasatan berhubung dakwaan penipuan pilihanraya masih lagi dijalankan.

Ketuanya, Abhan berkata, agensi berkenaan masih belum membuat sebarang keputusan susulan penemuan kertas undi awal di dua lokasi di Malaysia.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan proses pengundian tidak akan terjejas akibat siasatan tersebut.

Terdapat kira-kira sejuta pengundi telah mendaftar untuk melaksanakan tanggungjawab mereka di Malaysia.

Namun begitu terdapat beberapa pihak yang meminta supaya proses pengundiaan dijadualkan semula susulan siasatan tersebut.

Khamis lalu, terdapat sebuah video tular menunjukkan sekumpulan individu yang menggeledah sebuah stor kosong di Taman Universiti Sungai Tangkas, Bangi dan sebuah rumah di Bandar Baru Bangi, Selangor telah menemui kertas undi yang telah ditanda.

Menurut Abhan, satu pasukan pegawai daripada agensinya dan Suruhanjaya Pilihanraya Umum (KPU) telah melawat lokasi-lokasi berkenaan.

Katanya, pihak polis Malaysia telah menutup kedua-dua lokasi berkenaan dan menyebabkan pasukan tersebut tidak dapat memasukinya.

Tambah Abhad, pasukan tersebut dan Kementerian Luar telah memfailkan satu permohonan untuk mengakses tempat berkenaan bagaimanapun masih belum mendapat keizinan.

Pengundi Indonesia yang berada di Malaysia mewakili jumlah terbesar pengundi di luar negara dengan jumlah seramai 2 juta orang.

Pengundi di Indonesia akan mula mengundi Rabu ini.- Agensi