Presiden Srikandi Malaysia, Datuk Norasyikin Abdul Ghani.
Presiden Srikandi Malaysia, Datuk Norasyikin Abdul Ghani.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi Malaysia (SRIKANDI) mahu hukuman buang negeri ke atas pelaku yang tidak menghormati Raja-Raja Melayu.

“Sebagai rakyat yang menjunjung tinggi peranan Raja-Raja Melayu saya rasa hukuman yang diberikan sebelum ini terlalu ringan dan diambil mudah sehingga budaya penghinaan sebegini dilihat tiada berpenghujung.

“Buang negeri atau gugurkan kerakyatan lebih sesuai kepada golongan ini,” kata Presiden SRIKANDI, Datuk Norasyikin Abd. Gani.

Beliau turut menyatakan kekecewaannya terhadap sikap segelintir rakyat yang semakin berani menghina Raja-Raja Melayu sebagaimana terbaru status penghinaan Facebook yang tular mengenai Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Srikandi memandang serius tindakan mereka yang menghina dan mempertikaikan baginda serta Raja-Raja Melayu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Norasyikin memberitahu, kepimpinan sekarang juga perlu menjadi teladan kepada rakyat dan jangan sesekali merendah-rendahkan institusi diraja.

“Puncanya adalah sikap pemimpin sendiri sejak kebelangkangan ini menunjukkan rasa kurang hormat kepada Raja-Raja Melayu, yang boleh dilihat menerusi beberapa tindakan membelakangi Majlis Raja-Raja seperti dalam isu Statut Rom dan lain-lain.

“Ini adalah tindakan yang tidak mencerminkan sikap sebagai seorang warganegara Malaysia dan boleh menggugat perpaduan serta kestabilan kaum,” katanya lagi.- MalaysiGazette