Menteri Pengakutan Malaysia, Anthony Loke Siew Fook diiringi Timbalan Menteri Pengakutan, Datuk Kamaruddin Jaffar dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Shaharuddin Khalid mendatangani baju rider-73 pada Majlis Sambutan Hari JPJ Ke-73 di perkarangan Kementerian Pengakutan Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 15 APRIL 2019

PUTRAJAYA – Pemilik kenderaan lama tidak usah gusar kerana kerajaan tidak akan mewajibkan knederaan mereka menjalani pemeriksaaan sebelum memperbaharui cukai jalan dan insurans kenderaan.

Jaminan itu diberikan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berikutan keputusan kerajaan tidak meneruskan cadangan melaksanakan dasar Tempoh Jangka Hayat Kenderaan (ELV) yang pernah dibuat kajian sebelum ini.

Beliau berkata, laporan eksklusif sebuah akhbar berbahasa Cina bahawa dasar tersebut akan dilaksanakan telah disiarkan tanpa sebarang pengesahan maklumat daripada pihak berkuasa dan kementerian bertanggungjawab.

Menurut Anthony, walaupun kajian mengenai ELV pernah dilaksanakan, namun kerajaan memutuskan untuk tidak mempertimbangkan dasar tersebut.

“Tidak ada. Berita itu adalah berita palsu sebab kita tidak ada dasar ELV sekarang. Saya sudah banyak kali berkata bahawa ia tidak lagi dipertimbangkan.

“Memang sebelum ini ada kajian tetapi kita tidak mempertimbangkan dasar itu setakat ini dan saya terkejut mengapa ada laporan seperti itu semalam,” katanya dalam sidang media Sambutan Hari Jabatan Pengangkutan Jalan Ke-73 di Dataran Parkir Awam Kementerian Pengangkutan di sini.

Kelmarin, sebuah akhbar berbahasa Cina melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari, sebagai berkata kerajaan dijangka mengumumkan semakan semula dasar kereta nasional pada suku kedua tahun ini.

Laporan tersebut turut menyebut bahawa kerajaan akan mempromosikan semula ELV yang mewajibkan kenderaan lama lulus pemeriksaan bagi memperbaharui insurans dan cukai jalan.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, kuasa mengenai dasar ELV adalah terletak di bawah Kementerian Pengangkutan kerana pelaksanaanya pasti menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan yang bertanggungjawab mengendalikan urusan yang berkaitan.

“Jadi saya harap pihak media apabila membuat laporan seperti ini, lain kali dapatkan pengesahan terlebih dahulu daripada Kementerian Pengangkutan,” ujarnya.

Katanya, buat masa ini sesebuah kenderaan itu hanya perlu dibawa menjalani pemeriksaan sekiranya cukai jalan tidak diperbaharui 12 bulan selepas tamat tempoh tidak kira usia kenderaan tersebut. – MalaysiaGazette.