Kertas undi yang ditemui di Bangi, Selangor.

JAKARTA – Komisi Pemilihan Umum (KPU) Indonesia mengumumkan suruhanjaya itu akan mengadakan pengundian semula di Kuala Lumpur dan memanjangkan tempoh pengundian di Sydney, Australia.

Penemuan kertas undi yang telah dipangkah di Selangor, Malaysia mencetuskan dakwaan penipuan pengundian manakala kehadiran pengundi luar negara di stesen pengundian di Sydney, Australia menyebabkan stesen tersebut ditutup sebelum semua pengundi menunaikan kewajpan mereka.

Menyentuh kes di Malaysia, Pengerusi KPU, Arief Budiman berkata, suruhanjaya itu akan menentukan bilangan pengundi di Kuala Lumpur yang telah mengundi menerusi pos yang mana kertas undi kumpulan pengundi itu ditemui.

Semalam, Badan Pengawas Pemilihan Umum (Bawaslu) mencadangkan pengundian semula diadakan di Kuala lumpur yang mempunyai 300,000 pengundi.

Ketua Bawaslu, Abhan berkata, agensi itu juga mencadangkan KPU membatalkan semua kertas undi yang telah dipangkah yang dihantar menerusi pos, lapor The Jakarta Post.

Bawaslu juga meminta KPU membuka semula stesen pengundian di Sydney bagi membolehkan beribu-ribu pengundi yang tidak dapat menunaikan tanggungjawab mereka pada pukul 6 petang waktu tempatan pada Sabtu lalu apabila para pegawai pilihan raya menutup stesen pengundian itu.

Pesuruhjaya KPU, Ilham Saputra berkata, stesen pengundian di Sydney ditutup seperti dijadualkan memandangkan jawatankuasa itu menyewa dewan sehingga pukul 6 petang.

Pesuruhjaya Bawaslu, Fritz Edward Siregar mempersoalkan para pengundi yang sedang beratur sepatutnya dibenarkan mengundi walaupun selepas stesen pengundian ditutup.

“Kami perlu mengesahkan dengan syarikat pencetak samada mereka mampu mencetak lebih kertas undi. Selepas itu KPU akan menyelesaikannya, lipat dan edarnya dengan pos (ke Sydney),” kata Arief petang semalam.

“Kami akan mengesahkan bilangan pengundi yang masih lagi beratur (apabila stesen pengundian ditutup) kerana ini akan menentukan bilangan kertas undi yang kami perlu sediakan,” tambah beliau.

Dalam siasatan kes yang berlaku di Malaysia, para pegawai Bawaslu dan KPU telah menyoal tujuh anggota Jawatakuasa Pilihan Raya Luar Negara (PPLN) iaitu tiga anggota Bawaslu tempatan, dua pemantau pilihan raya dan seorang individu di kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur

Pasukan siasatan itu juga menemui bukti terdapat anggota PPLN Kuala Lumpur gagal mengendalikan pengundian menurut garis panduan dan meminta KPU memecat dua kakitangan PPLN.

“Terbukti PPLN Kuala Lumpur gagal menjalankan objektif tugas, ketelusan dan profesionalisme dalam mengendalikan pengundian,” kata Abhan.

Beliau berkata, pasukan siasatan telah melawat lokasi kertas undi yang telah dipangkah ditemui, di sebuah setor di Taman Universiti, Sungai Tangkas, Bangi dan sebuah rumah di Bandar Baru Bangi.

Pasukan tersebut juga meminta akses untuk memasuki dua lokasi itu tetapi tidak menerima kelulusan daripada Polis Di-Raja Malaysia.

Kertas undi itu disyaki dipangkah pada petak pasangan calon presiden Joko Widodo-Ma’ruf Amin dan calon perundangan parti NasDem.

Pasukan kempen mereka yang terlibat menafikan pembabitan dalam penipuan pengundian. – Agensi