KUALA LUMPUR – Bekas pegawai Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mendakwa jadi mangsa penganiayaan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Melalui sosial medianya, Egard Mohd. Aizat mendakwa semasa bekerja dengan SPAD, beliau menjadi pegawai tetapi kini hanya ditawarkan jadi pembantu tadbir Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sarawak (LPKPS).

“Kerja dekat SPAD pegawai, degree qualification. Lepas SPAD bubar, lepas empat bulan merayu, tu dia, bagi gred 19 lepas itu campak ke Sarawak.

“Dah nampak cara kerajaan aniaya orang? Lepas tu nak sembang nak jadi kerajaan yang lagi baik dari BN,” katanya.

Egard juga memuatnaik surat tawaran LPKPS dalam media sosialnya beserta emoticon marah.

Sebelum itu, ramai kakitangan SPAD ditamatkan perkhidmatan apabila kerajaan menukarnya kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) di bawah Kementerian Pengangkutan.

Walaupun ada sebahagiannya ditawarkan kerja oleh kementerian namun ramai merungut kerana gaji dan jawatan yang diberi tidak setara dengan akademik dan pengalaman mereka.

Selain itu, Egard menyesal kerana mendakwa ‘diperbodohkan’ oleh PH.

“Dulu aku pernah diperbodohkan. Tapi akan datang aku akan pastikan aku dan anak-anak aku takkan diperbodohkan oleh parti politik macam PH.

“Aniaya orang. Penipu. Tak au apa yang baik yang ada dari PH ini sejak diorang memerintah,” katanya lagi.

Hantaran Egard turut dikongsi oleh Datuk Seri Najib Razak di media sosialnya hari ini.

“PH semakin keterlaluan. Ada siapa lagi bekas staf SPAD yang menghadapi isu yang sama, ditindas Anthony Loke (Menteri Pengangkutan)? Apa gunanya PH sembang Youth Power?” soal bekas Perdana Menteri itu lagi.- MalaysiaGazette