Perancis akan mengharamkan penggunaan E171 atau bahan kimia dalam makanan pada 2020.

PARIS- Perancis akan mengharamkan penggunaan titanium dioksida sebagai pewarna tambahan dalam makanan selepas 2020 apabila agensi kesihatan dan keselamatan negara tersebut memaklumkan pengambilan bahan kimia tersebut secara oral boleh menjejaskan kesihatan.

Titanium dioksida digunakan secara meluas di dalam industri sebagai pemutih terutama untuk cat dan bagi sektor pemakanan ia dilabelkan sebagai E171 yang dimasukkan dalam pelbagai produk antaranya coklat dan gula-gula getah.

Perancis telah mengarahkan supaya penggunaan bahan kimia itu disemak semula pada 2017 selepas satu kajian mendapati kesannya terhadap kesihatan haiwan yang menggunakannya.

Institut Penyelidikan Pertanian Kebangsaan Perancis (INRA) dan rakan-rakan kongsinya dalam satu kajian mendedahkan titanium dioksida boleh melepasi dinding usus dan tersebar ke bahagian badan lain selepas dimakan.

Agensi Kesihatan dan Keselamatan ANSES pula berkata, masih tidak ada bukti kukuh yang mengatakan titanium dioksida selamat untuk tubuh manusia.

Penggunaan E171 mendapat kelulusan Kesatuan Eropah dan dengan itu kerajaan Perancis akan memaklumkan Suruhanjaya Eropah dan ahli-ahli negara anggota lain berhubung keputusannya itu.- MalaysiaGazette