Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail beramah mesra bersama pengamal media pada Majlis Dialog Menteri KPDNHEP Bersama Media di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 22 APRIL 2019

PUTRAJAYA- Pelaksanaan subsidi petrol bersasar akan dilakukan sebaik sahaja Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapat data penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang telah dikemaskini.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, kementeriannya telah bersedia untuk melaksanakan pemberian subsidi bersasar petrol.

Jelasnya, penggunaan senarai penerima BSH sebagai data asas kerana pangkalan datanya dibangunkan oleh agensi kerajaan dan dalam masa yang sama telah disahkan.

“Pelaksanaan bergantung kepada seberapa pantas Sekretariat BSH boleh serahkan data senarai penerima BSH yang telah dibersihkan kepada kita.

“Mereka kata kami akan terima (data tersebut) pada bila-bila masa sahaja sekarang.

“Kami mahu data yang tepat iaitu orang yang benar-benar layak akan menerima subsidi berkenaan manakala yang tidak layak tidak akan dapat.

“Di kementerian kami, kami sudah bersedia,” katanya semasa sesi bersama media di kementeriannya hari ini.

Tambah Saifuddin, hampir 90 peratus penerima BSH mempunyai akaun bank dan itu akan memudahkan kementerian untuk menyalurkan subsidi petrol kepada mereka sekiranya kaedah pemberian tunai digunapakai.

Katanya, beliau telah meminta Sekretariat BSH untuk berkerjasama dengan pihak bank bagi membolehkan 100 peratus penerima BSH mempunyai akaun bank.

“Ini akan memberikan alternatif kalau akhirnya kami memilih pemberian tunai maka boleh terus masukkan ke dalam akaun penerima.

“Ini bermakna semua orang akan membayar harga RON95 yang sama di stesen minyak tetapi penerima subsidi bersasar akan mendapat pulang semula tunai menerusi akaun mereka pada setiap bulan.

“Kalau ini cara terbaik, kami akan guna cuma apa yang penting jangan kelam kabut pada hari pertama,” katanya lagi.

Tambah Saifuddin, sekiranya pelaksanaan subsidi petrol bersasar ini berjaya, kaedah tersebut akan diperluaskan kepada barangan keperluan lain pula.

Kerajaan dalam Belanjawan 2019 mengumumkan pemberian subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter yang terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta dengan kapasiti enjin bawah 1,500cc.

Manakala 40 liter sebulan untuk pemilik motosikal 125cc dan ke bawah.- MalaysiaGazette