Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

PUTRAJAYA – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menafikan kerajaan telah memberikan 4,500 ekar tanah secara percuma kepada China bagi membolehkan kos projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diturunkan.

“Saya tidak diberitahu mengenai pemberian tanah sebanyak 4,500 ekar secara percuma itu, saya rasa ianya tidak benar kerana sekiranya ada penambahan (terma dan syarat) ianya patut dibawa ke pengetahuan Kabinet.

“Setakat yang saya tahu, tidak ada. Sekiranya kita menerima pembayaran (di atas penjualan tanah), itu mungkin tetapi jika diberi percuma, memang tidak benar,” katanya semasa sidang media selepas memeterai perjanjian kerjasama industri peringkat pertama di antara kerajaan Malaysia dengan Konsortium Bombardier Hartasuma di kementeriannya hari ini.

Beberapa hari lalu, blogger Raja Petra Kamaruddin mendakwa, kerajaan telah memberikan tanah seluas 4,500 ekar dan hak pembangunannya kepada China sebagai tukaran untuk meneruskan projek ECRL pada harga yang lebih rendah.

“Yang penting sekali adalah, dengan diskaun yang diberikan sebanyak RM21.5 billion itu, CCCC pula telah menerima sejumlah 4,500 ekar tanah di tujuh lokasi berhampiran dengan stesen-stesen yang ECRL akan berhenti,” kata Raja Petra di dalam sebuah artikel yang diterbitkan Free Malaysia Today baru-baru ini.

Menurut Guan Eng, mungkin tanah yang dimaksudkan adalah untuk tujuan Pembangunan Berorentasikan Transit (TOD).

“Saya rasa anda bercakap mengenai TOD, sekiranya TOD ia pastinya tidak percuma,” katanya lagi sambil menegaskan semua pihak perlu menunggu sehingga butiran perjanjian tersebut didedahkan kepada umum.- MalaysiaGazette