KUALA LUMPUR – Kira-kira 100 laporan polis telah dibuat kepada Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang didakwa berbohong berhubung tawaran kuota matrikulasi kepada bukan bumiputera.

Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam juga didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 167 yang mana membuat satu dokumen palsu dengan niat untuk menipu serta melempar fitnah pada kerajaan terdahulu.

Malaysia Gazette difahamkan, antara yang membuat laporan polis termasuk orang perseorangan, sekumpulan besar Pemuda MIC Kebangsaan dan juga pertubuhan bukan kerajaan.

Polis2Ketua Pemuda Kebangsaan, Thinalan Rajagopalu mendedahkan, laporan polis itu akan diteruskan sehingga tindakan diambil berikutan kesalahan yang dilakukan Maszlee di bawah Seksyen 167.

“Akan ada banyak lagi laporan polis yang dibuat. MIC mengambil inisiatif ini kerana sebelum kerajaan baharu ini ‘muncul’, BN yang bertungkus lumus dalam memastikan lebih banyak tawaran kemasukan diberikan kepada pelajar dalam kalangan masyarakat India ke matrikulasi.

“Rata-rata pelajar ini bukan sahaja cemerlang sebaliknya juga dalam kalangan B40 dan sangat memerlukan. Ini bukan sesuatu yang dilakukan oleh kerajaan kini, jangan cuba dabik dada kononnya ini adalah usaha anda.

“Tukarlah nama matrikulasi ini jika hendak, lakukan apa sahaja penjenamaan semula tetapi jangan sehingga jejaskan masa depan pelajar cemerlang yang bukan bumiputera. Berikan hak mereka seperti sebelum ini.

“Sampai hari bukan sahaja status serta angka sebenar tidak didedahkan oleh Maszlee mahupun pimpinan Pakatan yang lain, selepas kenyataan ‘pembohongan’ tentang one off sehingga kini diamkan diri sahaja,” katanya hari ini.

Polis3Kenyataan ‘bersahaja’ Maszle berhubung penawaran tempat kepada pelajar India ke program matrikulasi hanya sekadar one off oleh kerajaan terdahulu mendapat kecaman pelbagai pihak.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melahirkan rasa kesal terhadap Maszlee yang menganggap peruntukan sebanyak 2,200 pelajar India ke program itu oleh BN pada tahun lepas hanya sekali sahaja dan ia dilakukan pada tahun itu.

Polis4Kata Najib, kerajaan BN tidak pernah mengehadkan tawaran tambahan kepada pelajar India untuk sekali sahaja pada tahun itu, sebaliknya ia adalah tambahan daripada 1,500 pelajar sejak 2012 kepada 2,200 pelajar.

Polis5Dalam pada itu, Ketua Wanita MIC Kebangsaan, Usha Nandhini Jayaram kesal dengan apa yang sedang melanda pelajar India dan Cina yang mendapat keputusan cemerlang namun kerajaan kini seolah-olah ‘menidakkan’ kejayaan mereka.

Malah beliau sebenarnya terkejut dengan kenyataan dikeluarkan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyokong pengekalan dasar penawaran 90 peratus tempat pelajar Bumiputera dan 10 peratus kepada bukan bumiputera dalam program matrikulasi.

“Sebenarnya, saya tidak faham malah saya sendiri didatangi para pengundi khasnya India yang kecewa dengan kerajaan PH kini. Apa sahaja yang mereka janji dan fitnah, semuanya tidak betul. Kini, dasar yang diperkenalkan oleh mereka jauh lebih teruk.

“Anda kata kami perkauman? Kamu buat apa kini? Masa minta undi, bukan main hebat, tidak kira kaum boleh duduk semeja, kamu janji segala bagai kononnya sama rata untuk semua, jadi mengapa kini bercakap tentang 90:10?

“Jangan cuba tidakkan pelajar cemerlang ini? Jangan cuba tuding jari pada kerajaan dulu kerana kami sentiasa perjuangkan nasib semua, tidak seperti anda selepas berkuasa, hanya kepentingan peribadi menjadi agenda,” tegasnya. –MalaysiaGazette

 

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/19/jangan-main-tabur-perkataan-one-off-maszlee-nanti-ph-pun-one-off-najib/

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/22/nampaknya-pemikiran-bersatu-juga-tidak-ubah-seperti-umno-dap/

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/21/laporan-polis-terhadap-maszlee/

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/21/kalau-betul-one-off-sila-dedahkan-maklumat-kemasukan-matrikulasi-tahun-ini/