Setiausaha Bahagian Industri Kementerian Pertahanan Malaysia, Wan Mohd Asraf Wan Salleh bercakap kepada media pada Sesi Dialog Perwira Siri 2 (Industri Pertahanan) di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 23 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan akan menyemak semula pelan atau Pelan Induk Industri Pertahanan 2.0 negara.

Setiausaha Bahagian, Bahagian Industri Pertahanan Kementerian, Wan Mohd. Asraf Wan Salleh berkata, pelan itu telah dirangka sejak 10 tahun lalu.

“Kini tiba masanya untuk kita menyemak semula blueprint itu yang berfokus kepada bahagian pembangunan pertahanan dan sepatutnya ia sudah dimulakan semakannya.

“Ia fokus kepada enamk sektor antaranya aeroangkasa, maritim, Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) dan persenjataan,” katanya kepada pemberita semasa sesi dialog Kertas Putih Pertahanan di Wisma Perwira Tentera Darat di Kem Perdana Sungai Besi di sini yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong.

Tambah Wan Mohd. Ashraf, kementerian juga akan menyemak dasar pertahanan negara dan tidak menolak kemungkinan melibatkan sedikit pindaan sebagai usaha penambahbaikan dasar sedia ada.

“Jadi, kita terlebih dahulu akan membuat pembentangan kertas putih pertahanan (Parlimen) dulu.

“Selesai pembentangan itu, kita akan memformulakan semula dasar pertahanan negara dengan sedikit pindaan dan dari situ kita akan membacakan sekali dengan Pelan Induk Industri Pertahanan yang akan melalui proses semakan semula menyeluruh,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette