Ketua Penerangan Pertubahan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Nasrul Ali Hassan Abdul Latif.

KUALA LUMPUR – Pertikaian dan tekanan oleh pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukan bumiputera berhubung kuota mengikuti Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (PMKPM) seolah-olah tidak ada lagi peluang untuk mereka menyambung pengajian.

Sedangkan, peluang belajar masih terbuka luas di mana-mana politeknik di negara ini yang sentiasa mengalu-alukan kemasukan mereka untuk ke peringkat ijazah sarjana muda.

Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, ramai pelajar bukan bumiputera belajar di politeknik berjaya menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana dan ijazah kedoktoran di universiti awam.

Katanya, walaupun PMKPM tidak membuka kuota lebih kepada mereka, Kementerian Pendidikan juga menawarkan program prauniversiti melalui kemasukan di kolej dan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di sekolah tempatan.

“Kolej dan sekolah tempatan ini juga menyediakan pelajarnya untuk memasuki ke program Ijazah Sarjana Muda di universiti-universiti awam.

“Usaha ini melambangkan tiada pengecualian dari kerajaan untuk memastikan rakyatnya mendapat pendidikan terbaik, di samping meningkatkan kebolehpasaran graduan di dalam negara.

“Penyediaan tempat untuk melanjutkan pengajian di matrikulasi ini juga bukan bersifat hanya menyuap sesuatu kaum sahaja sehingga tidak menjadikan mereka berdaya saing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jumaat lalu, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dilaporkan berkata, penawaran 2,200 dan 1,000 tempat kepada pelajar berketurunan India dan Cina dalam PMKPM adalah inisiatif secara ‘one-off’ bagi pengambilan tahun lalu.

Kenyataannya itu menimbulkan rasa tidak puas hati kaum India dan Cina sehingga ada antara mereka membuat laporan polis terhadap Maszlee kerana didakwa berbohong berhubung tawaran kuota matrikulasi kepada bukan bumiputera.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam kenyataan balasnya semalam memaklumkan, jemaah menteri akan mengkaji semula isu itu dan akan diteliti terlebih dahulu sebelum kerajaan membuat sebarang keputusan mengenainya.

Menurut Nasrul Ali Hasan, matrikulasi adalah sebuah program pendidikan terbaik bagi menyediakan pelajar sebelum melangkah masuk ke universiti.

Kata beliau, kewujudan matrikulasi membuka ruang untuk pelajar cemerlang melanjutkan pengajian ke bidang profesional seperti perubatan, farmasi, pergigian, perundangan dan lain-lain.

“Matrikulasi yang membuka peluang kemasukkannya kepada 90 peratus pelajar Bumiputera sebelum ini seharusnya tidak perlu dipertikai dan dicabar.

“Pengekalan dasar penawaran 90 peratus tempat kepada pelajar Bumiputera bagi PMKPM selaras dengan matlamat asal program itu dalam membangunkan potensi kaum bumiputera.

“Ini bukan bermaksud ingin mewujudkan diskriminasi kepada mana-mana kaum di Malaysia, ini jelas dengan majoriti komposisi penduduk di negara ini dan jumlah pelajar bumiputera lepasan SPM yang lahir setiap tahun,” katanya.

Oleh itu, katanya, Perkasa menggesa agar kuota bumiputera di matrikulasi dikekalkan seperti sedia kala kerana terdapat banyak lagi pilihan pusat pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan yang turut menyediakan pelajarnya bagi kemasukan ke peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Perkasa juga, ujarnya, menyokong fokus kerajaan ingin mengutamakan 60 peratus penawaran matrikulasi kepada pelajar cemerlang dari keluarga golongan B40 dan kemungkinan boleh dibesarkan kepada 70 peratus pada masa akan datang.

“Ini kerana sehingga kini makin ramai kelompok B40 yang terhasil akibat tekanan kos sara hidup.

“Perkasa juga berharap Kabinet dapat membuat keputusan sewajarnya dan tidak terikut-ikut dengan rentak tekanan yang dibuat oleh segelintir masyarakat kerana mendokong agenda tertentu,” katanya.- MalaysiaGazette