Abdul Hamid Bador
Abdul Hamid Bador

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempertingkatkan tahap kawalan keselamatan di semua rumah ibadat seluruh negara termasuk di premis kedutaan asing susulan serangan letupan bom di gereja dan beberapa buah hotel di Sri Lanka, Ahad lalu.

Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, arahan telah dikeluarkan daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun serta pihak Cawangan Khas Bukit Aman berhubung isu itu.

Beliau berkata, PDRM meningkatkan kesiapsiagaan dan mengingatkan setiap formasi di bawah polis kontinjen negeri dan daerah supaya lebih senstitif dengan keadaan sekeliling.

“PDRM sentiasa memerhati perkara-perkara yang luar biasa untuk diambil tindakan segera dan kami berdoa agar tidak berlaku musibah (serangan rumah ibadat) di negara ini.

“Kami telah mengadakan kerjasama dengan orang awam untuk menyalurkan sebarang maklumat berhubung perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Hentikan Keganasan Terhadap Wanita dan Kanak-Kanak serta pelancaran buku pencegahan jenayah di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini, hari ini.

Siri letupan yang menggegarkan beberapa lokasi di Gereja Kochikade, Gereja Katuwapitiya, Shangri-La Hotel, Cinnamon Grand Hotel dan Gereja St Barnabas di Batticaloa, Colombo pada 8.30 pagi waktu tempatan, mengorbankan lebih 200 orang.

Sementara itu, ditanya mengenai jawatan Ketua Polis Negara yang bakal kosong setelah Mohamad Fuzi bersara wajib, Abdul Hamid berkata perkara berkenaan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan untuk menentukan pengganti seterusnya.

“Saya belum terima apa-apa indikasi atau sebarang surat, terpulang kepada kerajaan dan Suruhanjaya Polis untuk menetapkan siapa pengganti Ketua Polis Negara yang baharu.

“Saya masih lagi memangku jawatan Timbalan Ketua Polis Negara ketika ini,” katanya ketika diminta mengulas mengenai desas-desus mengatakan beliau akan menggantikan Mohamad Fuzi sebagai Ketua Polis Negara yang baharu.

Dalam perkembangan lain, ketika diminta mengulas perkembangan terkini bagi mengesan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Abdul Hamid berkata Jho Low ketika ini berada di sebuah negara namun enggan mengulas lanjut perkara itu.

“Dia (Jho Low) kini berada di sebuah negara dan nampaknya dia masih bebas di negara itu, kali terakhir dikesan berada di Hong Kong dan Macau. Sejak dia berada di kedua-dua negara itu, dia telah hilang daripada radar kami dan maklumat mendedahkan bahawa dia berada di kawasan itu,” katanya.

Menurutnya, PDRM masih berusaha mengesan Jho Low dengan kerjasama Interpol. – MalaysiaGazette