Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir pada hari keempat perbicaraan kes dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 17 APRIL 2019.

KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengetahui pada Isnin mengenai permohonannya untuk membatalkan tujuh pertuduhan yang dihadapinya berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah daripada peguam yang mewakili Najib iaitu Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin dan pendakwa raya ad hoc Datuk V. Sithambaram.

Mohd Yusof, bekas Peguamcara Negara II, berhujah bahawa pihak pendakwaan mestilah jelas dan spesifik apabila mengenakan pertuduhan untuk membolehkan tertuduh mengetahui dengan lebih tepat menbgenai pertuduhan yang dihadapinya.

“Jika tidak, dia tidak dapat menyediakan pembelaan yang efektif. Pertuduhan pecah amanah terhadap Najib tidak memperincikan bagaimana kesalahan itu dilakukan, sambil berkata ada lima elemen yang berkaitan mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan termasuk menyalahgunakan secara curang, menukarkan untuk kegunaan sendiri atau menggunakan harta secara tidak jujur,” kata beliau.

Mohd Yusof menarik perhatian bahawa pertuduhan pecah amanah tidak khusus sambil menyatakan Najib mesti tahu sama ada dia dituduh melakukan kesalahan itu sebagai ejen atas kedudukannya sebagai perdana menteri, menteri kewangan dan penasihat emetritus SRC International atau berdasarkan setiap kedudukan secara berasingan.

Beliau berhujah bahawa pendakwaan tidak boleh menuduh Najib dengan dua kesalahan pecah amanah yang berbeza dan menyalahgunakan kedudukannya untuk menerima suapan berhubung jumlah RM42 juta pada masa yang sama.

“Jika anda mengenakan pertuduhan pecah amanah jenayah, anda perlu membuktikan dia diamanahkan dengan wang itu dan dia menggelapkan atau wang tersebut tidak pernah diamanahkan kepadanya tetapi dia menyalahgunakan kedudukannya dan telah menerima suapan seperti dinyatakan dalam pertuduhan,” katanya.

Beliau juga berhujah bahawa Najib tidak boleh dibicarakan atas pertuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram dan pada masa yang sama menghadapi pertuduhan pecah amanah atau menyalahgunakan kedudukannya, kerana dia tidak dapat membela dirinya.

Sementara itu, Kamarul Hisham berhujah tuduhan rasuah tidak boleh dibicarakan secara serentak dengan pertuduhan pecah amanah.

“Parlimen menggubal undang-undang khusus yang berbeza untuk jenayah yang berlainan, supaya adil untuk mengenakan pertuduhan di bawah setiap undang-undang. Anak guam kami mempunyai hak untuk mendapatkan perincian pertuduhan daripada pihak pendakwaan supaya dia boleh menyiapkan pembelaannya pada masa yang sesuai seawal mungkin,” kata beliau.

Sithambaram berhujah balas bahawa pertuduhan itu tidak samar-samar, kerana ia perlu dibaca bersama dokumen-dokumen tambahan yang disediakan oleh pihak pendakwaan mengikut Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah.

“Pendakwaan telah membekalkan dokumen mengandungi 7,000 muka surat untuk digunakan dalam perbicaraan. Setakat ini, 21 saksi telah memberi kekerangan dan diperiksa balas oleh pihak pembelaan, tanpa adanya aduan mengenai apa-apa yang kurang jelas mengenai pertuduhan. Tetapi sekarang mereka mengadu.

“Saya tidak fikir pihak pendakwaan telah mengelirukan tertuduh sehingga berlaku salah laksana keadilan. Malah, peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebelum ini bersetuju untuk mencantumkan pertuduhan di bawah Kanun Keseksaan, pengubahan wang haram dan pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Apabila pihak pendakwaan membuat permohonan untuk ketiga-tiga fail disatukan dan dibicarakan secara bersama, Muhammad Shafee berkata permohonan pihak pendakwa untuk percantuman pertuduhan itu adalah perlu.

“Muhammad Shafee berkata beliau mengesahkan bahawa pertuduhan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) sebenarnya adalah pertuduhan dalam transaksi yang sama dan oleh itu boleh dibicarakan bersama,” kata beliau sambil menambah bahawa pihak pembela hanya mengadu mengenai pertuduhan itu sekarang.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga pertuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Pada 3 April lepas, Hakim Mohd Nazlan menolak permohonan notis usul yang difailkan oleh Najib untuk mengisytiharkan tujuh pertuduhan ke atasnya sebagai cacat didengar dahulu sebelum perbicaraan bermula.

— BERNAMA