Dr. Dzulkefly Ahmad

SEMENYIH – Kajian Merdeka Centre mendakwa tahap sokongan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) merosot merupakan satu ‘wakeup call’ kepada kerajaan, demikian menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata biarpun laporan itu mendakwa sokongan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan kini merosot kepada 39 peratus ia lebih kepada peringatan kepada kerajaan untuk melakukan yang terbaik kepada rakyat.

“Saya tidak memandang itu sebagai negatif, ianya satu input dan ‘wake up call’ dan peringatan walau apapun yang telah kami lakukan dalam kekangan-kekangan kewangan tetapi telah banyak yang kita lakukan dan penuhi.

“Yang pentingnya rakyat sudah mula memahami betapa pentingnya memperkukuh institut semak dan imbang itu adalah yang pertama,” katanya kepada media selepas merasmikan Karnival Sihat Selangor berkonsepkan Insan Sejahtera, Kedamaian Jiwa di Setia EcoHill 2, hari ini.

Katanya, sesiapa sahaja boleh membuat kajian terhadap sokongan kepada kerajaan, dan ia merupakan satu langkah yang baik dalam memastikan samada rakyat menyokong segala usaha kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Parlimen Kuala Selangor itu mengulas mengenai hasil kaji selidik Merdeka Centre mendapati, tahap sokongan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan kini merosot kepada 39 peratus pada 31 Mac 2019 berbanding 79 peratus pada 31 Mei 2018.

Ia dilakukan di seluruh Malaysia antara 5 hingga 11 Mac lalu yang melibatkan 1,204 pengundi.

Hasil kajian mendapati hanya 34 peratus responden percaya negara kini di landasan yang betul berbanding 55 peratus pada Ogos 2018.

Kaji selidik yang dibuat bulan lepas itu menunjukkan hanya 34 peratus responden percaya negara kini di landasan yang betul.

Kemerosotan sokongan ini disebab oleh tiga faktor iaitu tanggapan ekonomi oleh pengguna biasa, tanggapan prestasi pentadbiran kerajaan dan kebimbangan terhadap hak dan keistimewaan Melayu serta layanan adil ke atas kaum-kaum lain di Malaysia.

Justeru beliau meminta agar rakyat faham bahawa pelbagai kekangan-kekangan yang terpaksa diambil kira oleh kerajaan sebelum apa-apa keputusan dibuat.

“Tergendala segala janji ini dalam masa 10 bulan yang lalu sebab kita banyak membekukan projek sebab kita mahu rundingan semula dengan kontraktor kerana kontrak yang diberikan adalah terlalu besar dan kita tahu ia sedang dilakukan.

“Kita sedang melepasi fasa itu dan saya yakin sebagaimana yang disebut oleh Tun Daim Zainuddin, dalam masa enam bulan lagi kita akan memacu pertumbuhan yang sangat rancak dan telah mendapat FDI yang sangat baik.

“Kita telah pulihkan institusi seperti Felda, Tabung Haji,” katanya lagi.

Untuk rekod, kerajaan PH akan memasukkan fasa setahun pemerintahan sebaik memenangi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) dan membentuk kerajaan PH pada Mei lalu. -MalaysiaGazette