KUALA LUMPUR – Gandingan penerjun senior dan pelapis negara, Leong Mun Yee-Hanis Nazirul Jaya Surya menampilkan aksi mengecewakan apabila menamatkan kedudukan di tempat tercorot dalam acara 10 meter platform seirama campuran di Siri Terjun Dunia di Montreal, Kanada.

Pada aksi di Centre Sportif du Parc Olympique awal pagi tadi, Mun Yee-Hanis Nazirul bermula di tempat kelima setelah mengumpul 48.00 mata, namun pada pusingan seterusnya jatuh satu anak tangga, selepas hanya mengutip 42.00 mata.

Lebih mengecewakan apabila pada terjunan ketiga hingga kelima, mereka berada di kedudukan kelapan dan tercorot.

Pingat emas acara itu dimenangi penerjun China, Lian Junjie-Si Yajie selepas mengutip 342.21 mata, manakala pingat perak dan gangsa masing-masing menjadi milik Hyon Il Myong-Jo Jin Mi (Korea Utara) dengan 320.10 mata dan Nikita Shleikher-Iuliia Timoshinina (Rusia) yang mengutip 310.08 mata.

Satu lagi gandingan negara, Nur Dhabitah Sabri-Muhammad Syafiq Puteh akan beraksi dalam acara 3m papan anjal seirama campuran pada 6.10 petang, Ahad waktu tempatan (6.10 pagi, 29 April – waktu Malaysia). – MalaysiaGazette