Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching ketika menghadiri sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 06 OGOS 2018
Teo Nie Ching

PETALING JAYA – Kali ini yang ponteng kelas bukanlah pelajar, tetapi cikgu. Lebih mengejutkan, senario itu dikatakan turut melibatkan sekolah kluster.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching yang menerima laporan mengenai keadaan itu telah mengarahkan jabatan pendidikan negeri untuk menyiasat sekolah berkenaan.

Beliau berkata, pejabat pendidikan daerah pula akan mengarahkan rekod guru yang ponteng dikumpulkan dan akan mengambil tindakan jika kes ponteng cikgu bertambah serius.

Nie Ching bagaimanapun menjelaskan bahawa cikgu mungkin tidak berada di kelas kerana pelbagai sebab.

“Ini termasuk menghadiri kursus anjuran jabatan pendidikan, memimpin pasukan untuk menyertai pertandingan, cuti sakit atau cuti rehat khas,” katanya kepada Sinchew Daily.

Nie Ching berkata demikian sebagai mengulas aduan ibu bapa bahawa keadaan cikgu “ponteng kelas” di sebuah sekolah kluster di Selangor iaitu SMJK Katholik di Petaling Jaya semakin menjadi-jadi.

Seorang cikgu dikatakan hanya menghadiri dua daripada 10 kelas yang dikendalikannya dalam tempoh dua bulan.

Walaupun cikgu lain diaturkan untuk menggantikan guru itu, tetapi pengajaran dan pembelajaran tidak dijalankan.

Isu cikgu tidak memasuki kelas juga dilaporkan berlaku di SMK Bandar Utama Damansara 3 dan 4, kedua-duanya bagaimanapun bukanlah sekolah kluster.