MELAKA – Kos sara hidup yang dirasakan tinggi oleh rakyat pada masa ini, antara lain akibat kemampuan isi rumah di negara ini berbelanja agak terbatas, kata Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Prof Emeritus Datuk Dr Zakariah Abdul Rashid.

Beliau berkata, walaupun paras pendapatan isi rumah di negara ini meningkat saban tahun, bagaimanapun kadar pendapatan itu kekal rendah kerana tahap kemahiran dimiliki rakyat secara keseluruhannya agak rendah disebabkan kebergantungan pekerja asing tidak diurus secara optimum, selain kadar keberhutangan yang tinggi.

“Harga barang itu memang meningkat saban tahun, sepanjang pengalaman saya sendiri jarang lah ada harga barang turun malah tidak akan boleh dikawal. Tetapi kenaikan harga barang itu masih stabil buat masa ini apa jadi masalah ialah pasaran buruh kita dengan gaji rendah dan kebergantungan pekerja asing.

“Kita sekarang menuju ke arah negara pendapatan tinggi, masalah kita sekarang bukan atasi masalah kemiskinan tetapi atasi masalah kos sara hidup. Jika tiada apa-apa dilakukan dikhuatiri pada jangka masa panjang trend pertumbuhan tidak stabil, kaya jadi semakin kaya yang miskin jadi semakin miskin,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Janji dan Harapan: Kematangan Malaysia Dalam Merencana Pembangunan Untuk Semua’ pada Seminar Melaka Berwibawa di Bandar Hilir di sini yang turut dihadiri Ketua Menteri Adly Zahari.

Zakariah berkata walaupun paras pendapatan isi rumah rendah, ia dilihat meningkat apabila purata pendapatan bulanan rakyat di negara ini adalah pada RM5,228 pada tahun 2016 berbanding RM4,585 pada tahun 2014.

Beliau berkata pada tahun 2016 purata pendapatan bulanan rakyat kumpulan B40 adalah pada RM2,848; kumpulan M40 (RM6,502) dan kumpulan T20 (RM16,088).

Katanya, kawalan terhadap harga barang adalah sebuah mekanisma yang kurang efektif bagi mengawal kenaikkan kos sara hidup kerana harga barang dikawal oleh banyak faktor ketentuan terutama pengeluaran dan permintaan, selain faktor dari negara luar yang sukar dikawal oleh negara ini.

Beliau berkata, kawalan terhadap harga barang perlu dilihat daripada dua sudut yang berbeza iaitu sudut rakyat atau pengguna, dan sudut punca pendapatan mereka yang terlibat dalam penghasilan serta perniagaan barangan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast