KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO menyambut baik kesedian Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat Forum Awam Malaysia dan Statut Rom di Auditorium Tun Suffian, Universiti Malaya yang berlangsung baru-baru ini.
Penganjuran forum itu bukan sahaja menghasut bahkan menghina Institusi Raja-Raja Melayu, yang turut menampilkan Peguam Negara Tommy Thomas sebagai salah seorang panelisnya.
Namun, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki bertanya, persoalannya apa akan berlaku selepas kertas siasatan di peringkat PDRM selesai dan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara.
“Apakah Peguam Negara akan mendakwa dirinya sendiri?
,” soalnya dalam satu kenyataan di sini.
Sehubungan itu, menurut beliau, adalah lebih beretika jika Tommy meletakkan jawatan selaku Peguam Negara sebelum dipecat oleh Yang di-Pertuan Agong.
Tegasnya, desakan Pemuda UMNO ini adalah munasabah, malah amat selari dengan peruntukan Perkara 145 (5) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut bahawa “Peguam Negara hendaklah memegang jawatan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong”.
Asyraf berkata, bagi Pemuda UMNO, Tommy sudah tidak layak memegang jawatan Peguam Negara kerana beliau boleh dianggap bersubahat.
Bahkan, beliau langsung tidak mempertahankan Raja-Raja Melayu tatkala panelis forum menyalahguna kebebasan bersuara yang mereka dengan menukar forum awam ini menjadi medan terbuka untuk membangkitkan kebencian dan penghinaan terhadap Raja-Raja Melayu di hadapan Peguam Negara tersebut.
Tiga kebencian dan penghinaan utama terhadap Raja-Raja Melayu ini adalah:
(1)Mendakwa Raja-Raja Melayu merasa terancam dan tidak memberi perkenan kepada ratifikasi Statut Rom kerana mahu melindungi diri mereka dari jenayah kemanusiaan yang mereka lakukan.
(2)Mendakwa Raja-Raja Melayu dari Johor ke Perlis bukan keturunan Raja sebenarnya tetapi adalah keturunan daripada orang yang diletakkan sebagai Raja oleh British.
(3)Mendakwa Raja-Raja Melayu makin meluas menentang, menceroboh dan melanggar perlembagaan negara, termasuk dianggap sebagai antara perompak kekayaan negara.
Bagaimana mungkin Tommy sebagai Peguam Negara boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong dengan baik dari sudut undang-undang apabila beliau langsung gagal bersuara, malah bersekongkol dengan perlanggaran undang-undang membabitkan institusi Raja-Raja Melayu berlaku di hadapan beliau.
Sewajarnya Peguam Negara tidak perlu hadir pada forum tersebut, sebaliknya menasihatkan penganjuran forum awam ini dibatalkan setelah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengumumkan Kerajaan Malaysia akan menarik balik ratifikasi ke atas Statut Rom.
Justeru, katanya, Pemuda UMNO mendesak agar Tommy meletakkan jawatan secara terhormat kerana ternyata telah membelakangi Yang di-Pertuan Agong dan Kerajaan Malaysia yang telah membuat keputusan untuk menarik balik perjanjian tersebut. – MalaysiaGazette
Penubuhan RCJ…..