Subjek Sains Pertanian akan diperkenalkan semula di sekolah-sekolah.

PONTIAN – Mata pelajaran Sains Pertanian akan diperkenalkan semula di sekolah dalam masa terdekat.

Ini berikutan Kementerian Pendidikan melalui Menterinya Dr Maszlee Malik dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani secara dasarnya telah bersetuju akan usaha tersebut selepas dibincang dalam mesyuarat kabinet lepas.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub berkata proses selanjutnya akan dibincangkan lagi oleh kedua-dua Ketua Setiausaha kementerian (KSU) masing-masing, secepat mungkin.

“Sekarang ini memang ada sekolah-sekolah yang masih mengekalkan aktiviti pertanian tetapi subjek (Sains Pertanian) saya tak pasti. Tapi dulu, ketika tahun 1970, 80an sains pertanian ini satu subjek pilihan untuk lulus peperiksaan.

“Ia sangat berkesan tetapi sekarang untuk menjadikannya sebagai pilihan ataupun sebaliknya, nanti kita fikirkan kemudian. Yang penting, pengetahuan mengenainya diajar kepada pelajar di peringkat awal, kalau boleh di peringkat sekolah rendah lagi, ” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program “MYGREENTEAM “, projek kerjasama Lembaga Pertubuhan Peladang (LLP) dan Kementerian Pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato´ Penggawa Barat di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi LLP, Datuk Mazlan Aliman; Ketua Pengarah LLP Azulita Salim; dan wakil Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Yusman Jamsir.

Mengulas isu petani yang kononnya sukar mendapatkan bekalan benih padi sah hingga terpaksa menggunakan benih padi tidak sah, Salahuddin berkata mana-mana syarikat yang diberikan kontrak membekal benih padi sah itu tetapi tidak mengikut piawaian ditetapkan kementeriannya, bakal berdepan dengan tindakan.

“Saya sudah arahkan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Datuk Salim Parlan untuk menubuhkan jawatankuasa bertindak bagi mengkaji prestasi syarikat terlibat, sama ada mereka beroperasi mengikut prosedur ditetapkan.

“Ini rentetan rungutan daripada pihak petani berhubung perkara ini yang saya sudah ambil maklum dan akan berusaha untuk mengatasinya agar tidak berulang lagi,” katanya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast