KUANTAN – Mereka yang melalui Jalan Beserah di sini, pasti tidak akan terlepas daripada lambaian watak adiwira terkenal Spiderman yang ‘setia berada’ di hadapan khemah kecil berwarna biru.

Bukan sekadar lambaian kosong, sebaliknya kehadiran Spiderman itu adalah untuk mengajak pengguna jalan raya untuk singgah membeli ‘Teh Tarik Avengers Tepi Jalan’ yang beroperasi selama sembilan jam bermula 10 pagi, setiap hari.

Di sebalik kostum Spiderman itu ialah Mohd Azlan Mohd Ashari, 25, yang mengakui idea mengenakan kostum itu timbul kerana populariti watak adiwira itu di seluruh dunia difikirkan mampu memberi pengenalan unik kepada gerainya.

“Kostum ini dibeli secara dalam talian dari Pulau Pinang dan untuk Spiderman sahaja saya ada tiga pasang kostum, selain masing-masing satu untuk watak Mickey Mouse dan Captain America yang digunakan secara berselang-seli.

“Tapi memandangkan Spiderman adalah hero pujaan saya, wataknya yang paling kerap muncul di sini walaupun ada waktunya saya terpaksa mencuci kostum pada waktu malam dan dikeringkan di bawah kipas untuk digunakan semula pada hari esok, ” katanya semasa ditemui Bernama di sini, hari ini.

Mohd Azlan menambah beliau seronok melihat kanak-kanak kecil menunding jari ke arahnya atau memintanya membuat aksi Spiderman mengeluarkan sutera labah-labah daripada pergelangan tangan, selain melayani permintaan pengunjung untuk bergambar.

“Selalunya kalau dah berhenti, mereka pasti membeli…ada yang bermurah hati membayar lebih selepas bergambar. Sebagai Spiderman, tugas saya hanya menghantar air kepada pelanggan kerana sukar untuk saya mengisi air ke dalam gelas dalam keadaan tangan berbalut sepenuhnya, ” katanya.

Mohd Azlan berkata idea untuk menjual minuman itu, yang dijalankan secara kongsi dengan rakannya Hasmizam Abd Rashid, 39, tercetus apabila melihat teh tarik menjadi minuman kegemaran masyarakat pantai timur tanpa mengira usia dan kaum.

Anak jati Bukit Goh di sini berkata gerai itu baru beroperasi sejak sebulan lepas, setelah dia mengalami kesukaran mendapatkan kerja selepas berhenti daripada sebuah kilang di Tampoi, Johor kerana mahu lebih dekat dengan keluarga.

“Kami berdua mengeluarkan modal kira-kira RM500 untuk membuat kain rentang gerai manakala setiap kostum menelan belanja kira-kira RM300…supaya gerai tak nampak kosong, Hasmizam bawa permainan anak-anaknya termasuk figura Superman dan Spiderman,” katanya.

Mohd Azlan seterusnya menyifatkan ‘strategi pemasaran’ mereka sebagai adiwira agak berjaya kerana hasil jualan minuman itu pada harga RM3 bagi gelas kecil dan RM4 untuk gelas besar itu boleh mencecah sekitar RM100 ke RM150 sehari dan lebih lagi pada hujung minggu.

Disebabkan itu, mereka berdua sanggup meredah perjalanan sejauh 45 kilometer setiap hari dari rumah mereka di Gambang ke tapak gerai yang terletak beberapa ratus meter sebelum laluan ke Pantai Batu Hitam di sini.

Memakai kostum yang tertutup sepenuhnya pasti mengundang persoalan jika dia tidak berasa panas berpakaian sedemikian seharian, Mohd Azlan sekadar ketawa kecil mengatakan ‘alah bisa tegal biasa’.

“Lagipun kostum saya ini materialnya jenis lycra yang tidak panas dan ringan. Jadi memang kurang berpeluh dan tidak mengganggu saya untuk berkomunikasi dengan pelanggan,” katanya.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast