Tulisan Tun Dr Mahathir Mohamad pada memoir A Doctor In The House kepada Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin.

KUALA LUMPUR – Mufti Perlis tidak menolak kemungkinan Tun Dr Mahathir Mohamad terguris dengan kritikan beliau antara lain mengenai suara mempertahankan Islam kurang kedengaran dalam kalangan pemimpin kerajaan sekarang.

Dalam hantaran terbaharu di laman Facebook, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, walaupun faham keadaan itu, namun beliau berpegang kepada pesanan Dr Mahathir yang ditulis menerusi satu catatan khusus beberapa tahun lalu.

Antara yang ditulis di memoir A Doctor In The House:

“Jangan ketepikan kebenaran kerana takut. Perjuangan yang bebas dari cabaran dan tentangan bukanlah perjuangan yang sebenarnya”.

“In sha Allah saya akan berpegang kepada falsafah itu sekali pun terhadap kerajaan pimpinan Tun M sendiri,” katanya.

Dalam komen terbaharunya itu, Dr Maza merujuk kepada banyak berita yang dibacanya pagi ini berhubung kenyataan perdana menteri malam tadi yang merujuk beliau sebagai pekak sambil mempertahankan bahawa kerajaan Pakatan Harapan telah melaksanakan pelbagai perkara untuk mempertahankan Islam.

“Pasal dia pekak. Kalau dia boleh dengar, kita buat macam-macam untuk orang Islam, dan agama Islam. Tetapi dia tidak dengar,” kata Dr. Mahathir.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Makan Malam Gala Triennial & Malam Anugerah 2019 di Hotel Istana.

Mengulas lanjut, Dr Maza berkata, sesiapa yang mampu mendengar keresahan rakyat, itulah realiti yang disuarakan oleh setiap lapisan masyarakat Islam di negara ini.

“Saya tidak pasti siapa yang pekak,” katanya. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/29/sebab-dia-pekak-kata-tun-m-ulas-kenyataan-mufti-perlis/