Mohamed Azmin Ali berucap di Seminar Melaka Berwibawa di sini, hari ini.

MELAKA – Skop kerja dan spesifikasi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) masih kekal sama walaupun kosnya sudah berjaya dikurangkan sebanyak RM21.5 bilion.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, landasan ECRL adalah berkembar dan jajarannya juga sama.

Cuma bezanya, jajarannya tidak menembusi Gombak kerana di situ ada empangan dan permatang kuartza terpanjang di dunia.

Menurutnya, keputusan untuk tidak membuat terowong bagi jajaran ECRL itu telah menjimatkan hampir RM10 bilion.

“Keputusan ini sudah dibuat semasa saya menjadi menteri besar kerana di situ ada empangan. Kita tidak mahu timbul masalah.

“Di situ juga ada jajaran permatanq kuartza yang kita daftarkan dengan Unesco sebagai permatang kuarza terpanjang di dunia, dan kita juga tak mahu mereka tebuk dan buat terowong yang kosnya hampir RM10 billion,” katanya selepas merasmikan Seminar Melaka Berwibawa.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) berjaya melakukan rundingan semula projek ECRL dengan kos sebanyak RM44 bilion berbandimg RM65.5 bilion sebelum ini dan perjanjian antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) dimeterai baru-baru ini.

Runding berkenaan akan menyaksikan perubahan jajaran baharu iaitu Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Klawang-Bangi/Kajang-Putrajaya dan seterusnya Pelabuhan Klang.

Mohamed Azmin berkata, antara syarat projek ECRL adalah perlu membawa industri baharu dan pertumbuhan sektor perindustrian ke Pantai Timur.

Ia bagi memastikan projek itu menjana pertumbuhan ekonomi, sekali gus menguntungkan rakyat.

“Antara syarat baharu yang kita letakkan (kepada projek) mesti membawa industri baharu ke pantai timur.

“Projek ini penting jika ada pertumbuhan industri yang boleh menjana ekonomi dan pemindahan kargo ke Pelabuhan Klang,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast